Siakap Keli

Viral Pukul Pekerja Stesyen Minyak, Lelaki Ini Dijatuhi Hukuman Denda

Akibat gagal mengawal panas baran, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pekerja stesen minyak, awal bulan ini.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nuralif Shaufik Ahmad Fauzi, 25, turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika dia gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Nuralif Shaufik didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Ridwan Abdullah, 24, di Stesen Minyak Petronas di Sungkai dekat sini, pada pukul 12.45 tengah hari pada 6 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh menerusi peguamnya S. Kavitha merayu hukuman denda paling minimum atas alasan dia merupakan anak tunggal, menanggung ibu bapanya yang sudah tidak bekerja serta sudah insaf dengan perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)