Siakap Keli

(Video) Jambatan Atas Laut Terpanjang Di Dunia Akhirnya Dibuka

Jambatan atas laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong-Macau-Zhuhai akhirnya dibuka setelah dirasmikan oleh Presiden China, Xi Jinping.

Jambatan tersebut yang menelan belanja sebanyak USD 20 bilion (RM 83.26 bilion) itu sebelum ini beberapa kali tergendala memerlukan masa selama 9 tahun untuk disiapkan.

Selain itu, pembinaan jambatan ini juga menyaksikan peningkatan kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila dilaporkan sekurang-kurangnya 18 orang pekerja terbunuh di sepanjang tempoh jambatan ini hendak disiapkan.

Jabatan berkenaan dirasmikan pada hari Selasa dan dibuka untuk kegunaan orang awam bermula Rabu ini.

Satu daripada dua pulau tiruan yang dibina

Jambatan istimewa

Istrimewanya jambatan ini apabila yang dibina untuk menghubungkan tiga kawasan yang terletak di kawasan selatan China, iaitu wilayah Hong Kong, Macau dengan bandar Zhuhai.

Selain itu, media antarabangsa juga melaporkan bahawa jambatan ini dibina untuk mampu bertahan ketika daerah-daerah berkenaan dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan ribut taufan. Fakta lain yang menarik, sebanyak 400 ribu tan besi telah diguna untuk menyiapkan jambatan ini. Jumlah yang sama yang diperlukan untuk mendirikan 6 buah Menara Eiffel.

Menariknya lagi, jambatan ini terbahagi kepada beberapa bahagian dengan trek jalan berturap sepanjang 30 kilometer merentasi kawasan laut di Delta Sungai Pearl. Bagi membolehkan kawasan perairan berkenaan dilalui kapal dagang, sebuah terowong bawah laut sepanjang 6.7 kilometer juga dibina yang menghubungkan dua pulau tiruan.

Tujuan dibina

Pembinaan jambatan ini adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan China yang mahu mewujudkan Greater Bay Area merangkumi Hong Kong, Macau dan 9 buah bandaraya besar lain. Sehingga kini, dilaporkan kawasan-kawasan berkenaan didiami sekitar 68 juta penduduk.

Menghubungkan tiga wilayah

Jambatan ini juga dibina untuk memendekkan tempoh masa yang diperlukan oleh penduduk Zhuhai ke Hong Kong dan sebaliknya. Jika dahulu, melalui jalan biasa, perjalanan mengambil masa selama 4 jam, dengan jambatan ini masa yang diperlukan hanyalah sekitar 30 minit.

Tidak semua boleh guna

Walaupun jambatan ini dibuka untuk kegunaan orang ramai, namun sebenarnya tidak semua yang dibenarkan untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Jika ada yang berhajat untuk menggunakannya, mereka harus memohon permit iaitu pas kebenaran khas yang tertakluk kepada baki kuota dalam sistem. Selain itu, semua kenderaan yang melaluinya perlu membayar tol.

Selain itu, pengendali jambatan ini juga tidak menyediakan pengangkutan awam justeru pengguna terpaksa menggunakan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak swasta. Tiada laluan kereta api disediakan.

Pada awalnya, pihak berkuasa menjangkakan sekitar 9,200 kenderaan akan menggunakan laluan tersebut. Bagaimanapun jangkaan tersebut di turunkan setelah beberapa jaringan pengangkutan lain bakal dibina di wilayah berkenaan.

Menyebabkan 18 kematian

Dikritik rakyat sendiri

Walaupun memegang rekod dunia sebagai jambatan atas laut terpanjang dan infrastruktur yang memberikan kemudahan kepada rakyat, kerajaan China turut tidak terlepas daripada kritikan.

Dalam tempoh pembinaanya, seramai sembilan orang pekerja meninggal dunia ketika pembinaan daripada wilayah Hong Kong manakala sembilan lagi meninggal dunia ketika pembinaan di tanah besar China. Jumlah kematian yang agak tinggi ini menyebabkan jambatan ini digelar sebagai ‘Jambatan Kematian’. Malah, akhbar juga melaporkan bahawa jumlah buruh yang cedera juga mencecah ratusan orang.

Malah, pembinaannya juga turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar.

Kumpulan ini mendakwa, pembinaannya boleh menyebabkan kemusnahan kepada kehidupan marin di kawasan berdekatan termasuklah spesis jarang ditemui, ikan lumba-lumba putih.

Ikan lumba-lumba putih ‘hilang’ daripada laut berdekatan

Dalam tempoh 10 tahun lalu, jumlah ikan lumba-lumba putih yang dilihat berada di perairan berdekatan jambatan tersebut dibina menurun daripada 148 ekor kepada 48 ekor, dan kini ia lenyap sepenuhnya.

”Projek ini menyebabkan berlaku kerosakkan yang tidak boleh diperbaiki,” dakwa Samantha Lee wakil Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) yang berpangkalan di Hong Kong.

Pulangan yang tidak pasti

Dengan kos pembinaan menelan belanja sekitar USD 20 bilion (laluan utama sahaja bernilai USD 6.29 bilion/RM 26.19 bilion), sudah tentu yang diharapkan adalah pulangan yang besar.

Kerajaan China menjangkakan negara akan memperoleh pulangan sehingga 10 trilion Yuan (USD 1.44 trilion/RM 4.75 trilion). Bagaimanapun angka berkenaan disangkal oleh penggubal undang-undang di Hong Kong.

”Saya tidak pasti bagaimana angka berkenaan diperoleh jika jumlah kenderaan yang menggunakannya tidaklah begitu tinggi. Malah, jumlah keuntungan yang diperoleh nanti mungkin tidak mampu menampung jumlah kos pembinaan,” kata Tanya Chan.

Menurut perkiraan yang dibuat oleh pemerhati antarabangsa, jumlah tol yang mampu dikutip oleh jambatan berkenaan setiap tahun hanyalah sekitar USD 86 juta (RM 358 juta) sahaja. Sedangkan pakar menganggarkan kos penyelenggaraan jalan dan jambatan sahaja sudah menelan 1/3 daripada kutipan berkenaan.

Kritikan lain yang diterima, ramai rakyat China sendiri menganggap bahawa projek berkenaan bakal menjadi ‘Projek Gajah Putih’ ataupun projek mega yang gagal. Ada pula yang mendakwa, jambatan ini dibina sebagai simbol kuasa kerajaan China yang mahu Hong Kong dan Macau terus terikat dengan Tanah Besar.

 

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di