Jalan Alor kini mempunyai satu lagi destinasi makanan laut baharu apabila Canteen Malaya rasmi dibuka kepada orang ramai, menawarkan pengalaman menjamu selera dengan pilihan makanan laut segar, dapur terbuka dan ruang makan yang lebih selesa.
Berbeza dengan konsep gerai makanan laut di sekitar Jalan Alor, restoran ini menyediakan ruang makan berhawa dingin yang direka untuk pelanggan menikmati hidangan dengan lebih santai.
Antara tarikan utama Canteen Malaya ialah pilihan makanan laut hidup yang boleh dipilih pelanggan sebelum dimasak mengikut pesanan di dapur terbuka.
Bagi peminat ketam, restoran ini menawarkan lebih 30 jenis perisa dan penyediaan ketam, termasuk antara menu istimewa seperti Ketam Telur Masin, Ketam Kam Heong, Ketam Masam Pedas, Ketam Indonesia dan Ketam Lada Putih.
Selain ketam, pelanggan turut boleh menikmati udang harimau gergasi, ikan segar yang dimasak dalam pelbagai gaya, lala kukus dan sotong.
Canteen Malaya merangkumi empat tingkat dengan kapasiti sehingga 700 pelanggan pada satu-satu masa.

Aras bawah tanah menempatkan dapur utama, manakala tingkat bawah menjadi ruang makan utama. Tingkat pertama pula menyediakan ruang makan tambahan serta bilik persendirian, sementara tingkat kedua mempunyai dewan acara yang mampu memuatkan sehingga 250 orang.
Dari segi suasana, restoran ini mengetengahkan konsep yang lebih moden dengan taman di bahagian tengah, tumbuhan hijau, cahaya semula jadi daripada skylight serta kemasan kayu dan tona warna bumi.
Menurut wakil pengurusan Canteen Malaya, Patricia Wong, restoran berkenaan diwujudkan khusus untuk Jalan Alor yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong dari seluruh dunia.
“Fokus kami mudah, iaitu menyediakan makanan laut yang segar dan berkualiti untuk semua,” katanya.
Canteen Malaya terletak di 28, 28A-C, 30, 30A-C, Jalan Alor, 50200 Kuala Lumpur dan dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 2 pagi.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut atau melihat promosi terkini melalui media sosial rasmi Canteen Malaya.
