Amerika Syarikat pada Jumaat menarik balik arahan pemberhentian sementara semua penerbangan di lapangan terbang seluruh negara itu selepas beberapa jam, dengan pegawai tertinggi menjelaskan bahawa gangguan berkenaan berpunca daripada peralatan lama dan bukannya serangan siber atau gangguan meluas sistem Microsoft.
Ruang udara AS dibuka semula
Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, dalam satu taklimat lewat malam di Rumah Putih memaklumkan bahawa ruang udara Amerika Syarikat kini telah dibuka semula, namun memberi amaran bahawa keadaan perjalanan udara yang terganggu akan mengambil masa untuk kembali pulih.
“Pada pukul 8.15 malam ini waktu Timur, kami telah membuka semula ruang udara.
“Namun, adakah ini bermakna semua penerbangan boleh beroperasi serta-merta? Prosesnya akan berjalan secara beransur-ansur,” kata Duffy.

Memetik AFP, kerosakan sistem itu berlaku sehari selepas Duffy dan Rumah Putih secara rasmi meminta Kongres memperuntukkan AS$30 bilion bagi menaik taraf dan memodenkan Sistem Kawalan Trafik Udara Amerika Syarikat.
“Suis dan penghala (router) kami sebenarnya mengalami beban data yang berlebihan sehingga menyebabkan sistem gagal berfungsi.
“Perkakasan lama itulah yang mengalami kerosakan. Saya rasa persoalan kepada rakyat Amerika ialah, adakah anda mahu Kongres menyediakan peruntukan untuk tujuan ini?,” katanya.
Bagaimanapun, Duffy menegaskan bahawa perjalanan udara masih selamat untuk rakyat Amerika Syarikat.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, menolak spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya serangan siber terancang terhadap Amerika Syarikat atau sebarang kaitan dengan gangguan Microsoft yang menjejaskan perkhidmatan di seluruh dunia.
“Selamat datang ke 13 November, bukan? Saya mahu memastikan semua orang faham bahawa kejadian ini tiada kaitan dengan Microsoft. Saya tahu ramai yang membuat andaian sedemikian,” kata Mullin.
Mullin turut menegaskan bahawa sebenarnya tiada serangan siber berlaku.
“Apabila kita melihat kepada ancaman atau serangan siber, lazimnya ada pihak yang akan tampil dan berkata, 'Hei, kami yang melakukannya.'
“Namun, tiada sebarang perbualan yang mencurigakan. Kami juga tidak menemui sebarang jejak yang menunjukkan berlakunya serangan,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat masih menjalankan pemeriksaan dan belum menolak sebarang kemungkinan.
Kedua-dua pegawai itu turut mempertahankan Presiden Donald Trump yang masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung pemberhentian operasi penerbangan berkenaan, kira-kira lima jam selepas gangguan bermula.
“Presiden Trump segera memanggil pegawai-pegawai ke pejabatnya. Kami sentiasa berhubung,” kata Mullin.
