Siakap Keli

(Video)China Rancang Lancar Bulan Buatan Ke Orbit Untuk Ganti Lampu Jalan

Pemain industri teknologi angkasa lepas China merancang untuk melancarkan bulan buatan ke orbit menjelang tahun 2020 sebagai ganti kepada lampu jalan dalam usaha untuk mengurangkan kos utiliti elektrik di beberapa bandar.

Mengikut pelan asal, China merancang untuk menempatkan bulan berkenaan di atas bandar Chengdu iaitu ibu kota wilayah Sichuan. Bulan buatan ataupun satelit berkenaan akan dilancarkan daripada Pusat Pelancaran Satelit Xichang.

Jika pelancaran satelit pada 2020 itu tidak menghadapi sebarang masalah, Wu Chunfeng, Pengarah Pertubuhan Sains Baru Tian Fu berkata China akan melancarkan tiga lagi bulan tiruan menjelang tahun 2022.

Bulan berkenaan dibina untuk menyerupai bulan semula jadi yang mampu memantulkan cahaya matahari. Cahaya berkenaan akan dihalakan ke bumi dan menerangi jalan menggantikan lampu konvensional.

Secara dasarnya, menurut saintis satelit berkenaan berupaya untuk memantulkan cahaya lapan kali lebih terang berbanding bulan semulajadi.

Ia disebabkan bulan tiruan dirancang untuk ditempatkan pada orbit dengan jarak sekitar 500 kilometer daripada bumi, berbanding bulan semula jadi yang berada pada jarak kira-kira 380 ribu km.

”Bagaimanapun, cahaya yang akan dipantulkan oleh bulan tiruan ini tidak mampu menerangkan langit seperti bulan semula jadi. 

”Lokasi untuk cahaya dihalakan daripada bulan tiruan dan tahap kecerahannya boleh dilaras. Tahap ketepatan cayaha yang dihalakan berada dalam lingkungan beberapa meter daripada sasaran asal,” katanya.

Wu juga menganggarkan bandar Chendu mampu menjimatkan perbelanjaan elektrik sebanyak 1.2 bilion Yuan (RM 726 juta) setiap tahun sekiranya bulan tiruan mampu menerangi kawasan seluas 50 kilometer persegi.

Selain itu katanya, teknologi ini juga boleh dimanfaatkan ketika bencana yang biasanya kawasan berkenaan akan terputus bekalan elektrik memandangkan lokasi cahaya untuk dihalakan daripada bulan tiruan boleh dtetap semula.

Selain boleh dilaras tahap kecerahan, pengendali bulan tiruan juga berupaya untuk memadam fungsi pantulan cahaya berkenaan.

”Bulan tiruan pertama yang dilancarkan tujuannya utamanya adalah sebagai ujian, namun untuk tiga satelit seterusnya, ia adalah untuk tujuan komersial yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya yang menjangkakan tiga bulan tiruan tersebut mampu memberi cahaya kepada kawasan seluas 3,600 hingga 6,400 km persegi, 24 jam sehari.

Kerja-kerja pembinaan bulan tiruan tersebut turut melibatkan tenaga pakar daripada universiti-universiti tempatan antaranya Institut Teknologi Angkasa China, Harbin.

”Kami akan menjalankan ujian di padang pasir dan cahanya nanti tidak akan menjejaskan orang ramai. apabila dilancarkan kelak, bulan tersebut kelihatan seperti bintang biasa, bukan seperti sebuah bola raksasa yang mungkin anda bayangkan,” kata Wu lagi.

Bagaimanapun Wu mengakui, terdapat banyak kerja yang perlu diselesaikan oleh komuniti sains China termasuklah keupayaan saintifik dan model perniagaan yang hendak diguna pakai.

Selain China, beberapa buah negara lagi termasuk Rusia, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah adalah antara pihak yang sedang berlumba-lumba untuk menghasilkan teknologi yang mampu menuai sumber tenaga daripada angkasa. Teknologi seperti bulan tiruan adalah antara perkara yang dipertimbangkan.

Rusia pada tahun 1999 pernah merancang menghantar teknologi cermin gergasi yang mampu menghalakan cahaya matahari ke kawasan bandar utama, namun projek berkenaan dibatalkan setelah berlaku kemalangan ketika cermin berkenaan hendak dilancarkan. Selain itu, Rusia juga mengalami kekangan kewangan ketika itu.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=3ZklLWocLXc]

 

Sumber : China Daily

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.