Siakap Keli
Gambar : Mirror UK

Seakan Mimpi, Anak Hilang Diculik 31 Tahun Lalu, Ibu Sebak Berjaya Disatukan Semula

Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan seorang ibu ini apabila dia disatukan semula dengan anak lelakinya yang diculik 31 tahun lalu.

Lyneth Mann-Lewis kehilangan anak lelakinya, Jermaine Allan Mann, yang didakwa diculik oleh bapanya pada 1987 semasa lawatan berjadual di Toronto, Kanada.

Pada masa itu, hati ibu yang hancur ini merasa dia tidak dapat bertemu bayinya lagi, selepas kehilangannya yang hanya baru berusia 22 bulan ketika kejadian.

Gambar : Mirror UK

Namun, siapa sangka selepas 31 tahun, anak beranak itu kini disatukan semula selepas polis Amerika Syarikat (AS) menahan Allan Mann, 66, yang ditemui terbabit dengan dokumen palsu.

Bercakap mengenai saat dia mendapat khabar berita mengenai anak lelakinya telah dijumpai, Lyneth berkata: “Perasaan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.”

“Ungkapan ‘Anak lelaki anda hidup, kami telah menemuinya’ – itu sesuatu yang menakjubkan.”

Gambar : Mirror UK

Katanya, perkara pertama yang dilakukannya sebelum bercakap dengan anak lelakinya adalah memegangnya, sambil berkata: “Saya mahu lihat sekiranya dia itu adalah benar-benar wujud. Saya kata ‘Oh Tuhanku, ini anak saya.”

Jermaine didakwa dibawa keluar oleh bapanya dari Kanada ke AS dan ibunya, Lyneth diberitahu telah meninggal dunia semasa bayi.

Difahamkan, ibu bapa Jermaine berpisah setahun sebelum kejadian pada 1986, dan Allan menerima hak lawatan terhadap anak lelakinya dan didakwa melakukan penculikan pada 24 Jun 1987.

BBC melaporkan bahawa polis Toronto ketika itu melancarkan siasatan secara besar-besaran terhadap kehilangan Jermaine.

Gambar-gambar Jermaine yang diedit mengikut perkembangan usianya turut diedarkan oleh Polis AS dan Kanada.

Gambar : Mirror UK

Jermaine sebenarnya ditemui pada Khamis lalu, 26 Oktober selepas bapanya ditahan di Vernon, Connecticut kerana menggunakan sijil kelahiran palsu untuk dirinya sendiri dan anak lelakinya, dengan mendakwa mereka berasal dari Texas, AS.

Sijil kelahiran tersebut dikesan palsu semasa dia mahu menggunakannya untuk memohon sebuah unit perumahan bersubsidi.

Lyneth berkata :”Saya adalah bukti selepas 31 tahun menderita, sesiapa pun jangan berputus asa tetapi bersabar, kuat dan percaya bahawa semua perkara tidak mustahil.

Sumber : Mirror UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.