Siakap Keli
Gambar : Bernama

Kilang Proses Dadah Diserbu, Empat Polis Antara Sembilan Ditahan

Empat anggota polis antara sembilan yang ditahan susulan pembongkaran sebuah makmal dadah terbesar di Selangor, Rabu lepas.

Makmal yang terletak di kawasan perindustrian di Semenyih itu dipercayai menghasilkan 70 kilogram syabu sehari untuk kegunaan 142,000 penagih yang bernilai RM3.55 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata berdasarkan risikan, pihaknya telah menyerbu premis berkenaan pada 5 pagi, Rabu lepas dan kesemua yang ditahan berusia antara 27 dan 51 tahun.

Dalam serbuan tersebut, polis telah menahan dua lelaki dan kemudian menahan tiga lagi lelaki di kawasan tempat letak kereta di ibu negara pada hari yang sama.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan empat anggota polis pada Jumaat dan Sabtu lepas bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, kita masih mengenal pasti penglibatan anggota terbabit sama ada terlibat secara langsung atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di makmal tersebut di sini, hari ini.

Mazlan berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas pelbagai mesin digunakan untuk memproses dadah serta menyita tiga kenderaan dan wang tunai berjumlah RM105,500.

“Selain itu, turut dirampas cecair dipercayai minyak syabu yang belum diproses seberat 174 kg. Jika minyak itu diproses ia boleh menghasilkan syabu seberat 70 kg,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama setahun dan dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kesemua mereka ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.