Siakap Keli

“Jangan Bayar Lebih,” FAM Gesa Penyokong Harimau Malaya Boikot Ulat Tiket

Tiket separuh akhir Sabtu ini sebanyak 80,000 telah habis dijual dan dimaklumkan secara rasmi melalui akaun Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Susulan itu, ada dalam kalangan rakyat Malaysia mengambil kesempatan terhadap penjualan tiket dengan menjualnya secara haram di atas talian dengan harga yang tidak masuk akal.

Pihak FAM hari ini memuat naik kenyataan menggesan para penyokong untuk mengelak daripada membeli daripada ulat-ulat tiket ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menggesa para penyokong Harimau Malaya supaya tidak membeli tiket perlawanan Separuh Akhir 1 Piala Suzuki AFF 2018, Malaysia lwn Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini (esok) yang telah digandakan harganya oleh ulat tiket.

Tindakan memboikot ini boleh membuatkan ulat tiket berkenaan mengalami kerugian, sekali gus mampu mengurangkan kegiatan ulat tiket untuk terus berleluasa pada perlawanan-perlawanan besar akan datang.

Namun jika para penyokong terus dengan tabiat tidak kisah untuk berbelanja lebih membeli tiket yang telah digandakan harganya oleh ulat tiket ini, ia hanya akan membuatkan perkara ini akan berlanjutan dan tidak boleh dihapuskan sampai bila-bila.

FAM sendiri turut akan mengambil langkah proaktif pada masa depan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membasmi kegiatan ulat tiket ini daripada industri bola sepak negara.

Mungkin kita tak boleh untuk menghilangkan terus tetapi kita mampu untuk mengurangkannya dengan memboikot ulat tiket ini bermula dengan perlawanan Sabtu ini. Jika tiada permintaan, maka tiadalah penawaran.

Sebagai panduan buat para penyokong, tiket bagi perlawanan Sabtu ini yang telah terjual kesemua 80,000 keping adalah berharga RM40 bagi tempat duduk grandstand, RM30 bagi tempat duduk terbuka dan RM5 bagi tiket kanak-kanak. Jadi, jangan bayar lebih!

Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Nur Farra