Siakap Keli

“Boleh Memendekkan Umur,” Mufti Perjelas Antara Kesan-Kesan Tonton Video Lucah

Sekarang semuanya hanya dihujung jari.  Kuasa internet tak dapat disangkal lagi, tak terbatas untuk melayarinya tanpa kira waktu, dan dimana saja kita berada.

Sehingga mudah mendapatkan maklumat, ada diantara kita yang menyalah gunakannya untuk kepuasan nafsu semata-mata.  Menurut statistik, sebanyak lebih 300 juta video pornografi di seluruh negara yang disiarkan melalui laman web.

Setakat tahun 2014, Google Trends menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-8 untuk negara yang paling banyak mencari maklumat berkaitan seks.

Oleh itu, Mufti WP dalam portal rasminya menerangkan apakah kesan terhadap amalan dan ibadah sebagai umat Islam jika melihat perkara sedemikian.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Assalamualaikum, Sahibus Samahah Mufti. Saya merupakan seorang mahasiswa di universiti tempatan. Rakan sebilik saya sering melihat video-video porno dan saya sukar untuk mengelakkan perkara tersebut. Soalan saya, apakah kesannya terhadap amalan dan ibadah kita melihat wayang-wayang sebegini dan bagaimana untuk mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku lebih-lebih lagi dalam bulan puasa ini?

 

via GIPHY

Jawapan:

Haram melihat aurat orang lain apatah lagi yang lucah atau porno. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ﴿٥﴾ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ﴿٦﴾ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ ﴿٧﴾

MaksudnyaDan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Mu’minun: 5-7)

 Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi  di dalam bukunya Al-Taubah Ilallah telah menukilkan tulisan Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi berkenaan kesan dan pengaruh maksiat. Antaranya ialah:

  • Terhalang dari mendapat ilmu
  •  Terhalang dari rezeki yang murah.
  • Merasa jauh dari rahmat Allah.
  • Merasa terpinggir dari hubungan sesama manusia.
  •  Segala urusan menjadi sukar dan sulit
  •  Hati menjadi gelap.
  • Terhalang dari melakukan ketaatan
  •  Boleh memendekkan umur seseorang.
  • Mengheret kepada kemungkaran yang lain.
  • Melemahkan ransangan ketaatan.
  • Merasa bangga dengan maksiat.
  • Mendapat penghinaan dari Allah.
  • Menganggap kecil terhadap maksiat kepada Allah.
  • Kesan buruk maksiat terhadap semua makhluk yang bernyawa.
  • Menyebabkan kehinaan di kalangan manusia.
  • Boleh melemahkan akal fikiran.
  • Menyebabkan hatinya tertutup dan mati.
  • Boleh mengundang banyak laknat.
  • Terhalang dari mendapat doa Nabi dan malaikat.
  •  Melemahkan perjalanan hati kepada Allah.
  • Boleh menghilangkan banyak nikmat.
  • Boleh mengabaikan diri sendiri.
  • Merasakan kehidupan seolah-olah menjadi sempit

Untuk mengelakkan perkara tersebut, hendaklah memberi nasihat, peringatan di samping melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Gantikan amalan tersebut dengan membaca al-Quran atau mendengar ceramah agama yang bermanfaat. Elakkan duduk bersendirian dan cuba bersahabat dengan sahabat yang boleh membawa ke arah kebaikan. Wallahua’lam

Akhukum Fillah,

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Nur Farra