Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Isu Solat Jumaat Di Kuala Klawang, Mufti Negeri Sembilan Perjelas Hukum Solat Zuhur

klawang
Kredit: Media sosial

Jemaah yang menggantikan solat Jumaat dengan solat Zuhur di Masjid Kuala Klawang, Jelebu pada 30 Oktober lalu diwajibkan mengqada semula solat berkenaan kerana ia didapati tidak sah.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengambil maklum mengenai isu kegagalan pelaksanaan solat Jumaat di masjid berkenaan pada minggu lalu.

Menurutnya, masjid dan surau yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai lokasi pelaksanaan solat Jumaat merupakan tempat penyatuan umat Islam serta lambang syiar Islam.

Jelasnya, memastikan solat Jumaat dapat dilaksanakan dengan sempurna merupakan tanggungjawab bersama pihak berkuasa agama, jawatankuasa kariah dan seluruh umat Islam.

Beliau berkata, solat Jumaat merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat, termasuk mukallaf, merdeka dan bermastautin.

Katanya, kewajipan tersebut ditetapkan berdasarkan nas al Quran, al Sunnah dan ijmak ulama, manakala meninggalkannya dengan sengaja tanpa keuzuran adalah berdosa.

Sehubungan itu, setiap individu yang tertakluk kepada kewajipan berkenaan perlu mengutamakan pelaksanaan solat Jumaat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tuntutan syarak dipenuhi.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bermuzakarah pada 3 November lalu telah meneliti serta membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

Menurut Faudzinaim, apabila sesebuah masjid, surau atau tempat yang ditetapkan pihak berkuasa agama sebagai lokasi solat Jumaat bagi sesuatu kawasan kariah memenuhi syarat pelaksanaannya, individu yang wajib menunaikan solat Jumaat hendaklah melaksanakannya di tempat berkenaan.

Jelasnya, individu terbabit tidak dibenarkan menunaikan solat Zuhur sebagai ganti kepada solat Jumaat selagi solat Jumaat masih boleh didirikan dalam tempoh waktu Zuhur.

Beliau berkata, solat Zuhur yang ditunaikan pada hari Jumaat tanpa keuzuran dibenarkan syarak, sedangkan kewajipan solat Jumaat masih tertanggung ke atas individu berkenaan, adalah tidak sah.

Oleh itu, individu yang menunaikan solat Zuhur dalam keadaan tersebut diwajibkan mengqada semula solat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan umat Islam di Negeri Sembilan supaya sentiasa memelihara kewajipan solat Jumaat dan tidak mengambil mudah perkara yang telah ditetapkan syarak.

Katanya, semua pihak yang diberikan amanah menguruskan masjid dan surau juga perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti bagi memastikan syiar Islam terus terpelihara.

Intipati
  • Jemaah Masjid Kuala Klawang diwajibkan mengqada solat Zuhur yang menggantikan solat Jumaat.
  • Mufti berkata solat Zuhur tidak sah jika kewajipan solat Jumaat masih tertanggung.
  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan berhubung isu itu pada 3 November.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan