Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku di beberapa kawasan di dua negeri hingga 27 November (Jumaat).
Amaran Hujan Berterusan
Menurut METMalaysia, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di beberapa kawasan melibatkan negeri Kelantan dan seluruh negeri Terengganu.
“Di Kelantan, hujan berterusan dijangka berlaku di Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang dan Tanah Merah,” maklum kenyataan itu.
Justeru, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, media sosial rasminya atau aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih.
