Siakap Keli

”Lepas Ni Boleh Bagi Khinzir Makan Pula,” Netizen ‘Serang’ Yasin Gara-Gara Muat Naik Gambar Beri Anjing Makan

Golongan selebriti adalah golongan yang sering menerima perhatian tanpa henti daripada netizen. Segala gerak-geri mahupun tindak-tanduk mereka dalam radar tidak kiralah wartawan mahupun orang awam.

Ada sahaja yang tak kena, pasti kecoh dan muncullah kontroversi yang mana jika tidak dikawal boleh merosakkan karier mereka di masa hadapan.

Terbaru adalah artis kumpulan nasyid Brothers, Yasin Sulaiman yang dihentam segolongan netizen gara-gara perkongsian terbaru di Instagramnya sebelum ini.

Melalui perkongsian yang dibuat 2 hari lepas, Yasin memuat naik sekeping gambar dimana dia memberi makan dua ekor anjing yang menemaninya ketika beriadah.

”Sedang mendaki Bukit Tabur sekumpulan anjing muncul dan menemani hingga ke puncak. Untuk itu saya bagi ganjaran tuna sandwich,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa orang netizen dilihat tidak berpuas hati dengan perkongsian yang dibuat olehnya dan meninggalkan komen-komen negatif.

Salah seorang daripada netizen turut menyarankan agar Yasin selepas ini memberi makan kepada khinzir pula. Manakala seorang lagi mengingatkan Yasin bahawa anjing adalah haiwan yang dilarang daripada disentuh di dalam Islam.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian terhadap gambar yang dikongsikan tersebut, dapat dilihat dengan jelas bahawa Yasin tidak bersentuhan dengan haiwan tersebut.

Namun begitu, terdapat juga beberapa orang netizen yang meninggalakan komen positif dan menyanjungi cara penyanyi itu menyantuni haiwan berkenaan, biarpun haram disentuhnya sebagai seorang Muslim.

Berikut adalah beberapa komen yang ditinggalkan oleh netizen yang memuji perbuatan Yasin memberi haiwan berkenaan makan.

Sumber : Yasin Sulaiman

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.