Siakap Keli

Kecewa Bapa Gagal Tunai Janji Bina Tandas, Kanak-Kanak Buat Laporan Polis

Seorang kanak-kanak di Chennai, India membuat laporan polis selepas bapanya gagal menunaikan janji untuk membina sebuah tandas di rumah mereka.

”Dia berjanji untuk membina sebuah tandas untuk saya dua tahun lalu, namun tiada apa-apa sehingga sekarang. Saya semakin membesar dan berasa malu untuk membuang air di kawasan terbuka.

”Jadi saya membuat laporan polis ini supaya ayah saya ditahan kerana gagal menunaikan janjinya,” kata E Hanifa Zaara, 7.

Dalam laporannya, Zaara memberitahu bahawa ayahnya berjanji sedemikian sekiranya dia berjaya menduduki tempat pertama di dalam kelas. Zaara yang kini di Kelas 2, sentiasa menjadi pelajar cemerlang yang memperoleh kedudukan pertama.

Namun, disebabkan bapanya masih gagal untuk menunaikan janjinya, Zaara menuntut pihak berkuasa mengeluarkan surat amaran ataupun menahan bapanya atas kesalah menipu.

”Dia menjelaskan masalahnya dan menunjukkan bukti prestasi cemerlangnya termasuklah 20 pingat dan sijil,” kata polis yang menerima laporan, SI A Valarmathi.

Valarmathi kemudian turut menghubungi pihak yang berkaitan bagi memberi bantuan kepada keluarga Zaara untuk membina kemudahan tandasnya sendiri.

Esanullah, 31, ayah kepada Zaara ketika mengulas laporan anaknya itu memberitahu media bahawa pada awalnya dia merasa terkejut selepas dihubungi pihak berkuasa dan memintanya hadir ke balai polis.

”Saya merasa takut. apabila tiba di balai polis, saya merasa keliru pula apabila melihat anak dan isteri saya ada di sana. Kemudian, mereka memberi penjelasan dan memintanya saya memujuk Zaara pulang,” katanya.

Dia bagaimanapun merasa bangga dengan tindakkan yang diambil Zaara sehingga membawa perkara tersebut ke pengetahuan pihak berkuasa.

”Saya sentiasa mengingatkannya sebelum ini untuk menjadi tegas dan membuat laporan polis sekiranya berhadapan dengan masalah,” kata Esanullah lagi.

India, salah sebuah negara yang rancak dengan industri dikatakan berhadapan dengan masalah kebersihan apabila jutaan rakyatnya masih lagi tidak mempunyai tandas di rumah dan memilih untuk melangsaikan ‘seruan alam’ itu dengan menggunakan ‘tandas terbuka’.

Sumber : Times Of India

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.