Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

Kejam, Kerana Cinta Terhalang, Gadis Tergamak Minta Bantuan Kekasih Bunuh Ibu Guna Sabit

Hanya kerana cinta, ada yang sanggup melakukan apa sahaja hingga melebihi batas seorang manusia. Begitulah apa yang berlaku kepada seorang pelajar kolej berusia 19 tahun apabila dia ditahan polis kerana membunuh ibunya yang berusia 50 tahun akibat cinta terhalang.

Teman lelakinya yang dikenali di Facebook, S Suresh dan dua lagi lelaki, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Gadis itu, yang dikenali sebagai S Devipriya, tinggal di Anjaneyapuram Tamil Nadu, Thiruvallur, merupakan pelajar tahun dua Sarjana Muda Perdagangan di sebuah kolej di Avadi.

Devipriya telah didakwa menyebabkan ibunya Banumathi mati dibunuh kerana menentang hubungannya dengan Suresh.

“Devipriya telah berkawan dengan S Suresh, yang juga berusia 19 tahun sejak tahun lalu melalui Facebook.

“Walaupun mereka tak pernah bertemu, mereka mempunyai hubungan yang sangat erat di Facebook. Suresh juga mendakwa dirinya merupakan seorang profesional IT di Mysuru.

“Devipriya kemudiannya menceritakan kisah cintanya itu kepada ibunya, Banumathi, yang memberi nasihat agar tidak percaya dengan lamaran cinta di Facebook dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya,” kata sumber polis Tamil Nadu kepada Hindustan Times.

Di samping itu, Banumathi juga turut melarang anak gadisnya itu daripada menggunakan telefon bimbit.

“Marah dengan tindakan ibunya, Devipriya berjaya menghubungi Suresh dan meminta bantuan lelaki itu untuk membunuh ibunya.

“Suresh pula menghantar dua pelajar berusia 16 dan 17 tahun, untuk membantu Devipriya melaksanakan rancangan membunuh ibunya pada Isnin,” kata sumber polis.

Lebih tragis, ibunya juga sempat berkenalan dengan dua orang suspek yang membunuhnya kerana Devipriya sebelum itu telah memperkenalkan kedua-dua lelaki itu kepada Banumathi sebagai rakannya.

“Ketika Banumathi berada sendirian di rumah, Devipriya dan dua lelaki tersebut menyerangnya dengan sabit dan membunuhnya,” kata polis.

Menyedari jeritan Banumathi, jiran-jirannya mengejar dan berjaya menangkap kedua-dua mereka. Hasil siasatan, mereka mengaku melakukan pembunuhan itu dan mendedahkan butiran kes yang membawa kepada penahanan Suresh pada Selasa.

Semasa siasatan awal dijalankan, polis turut mendapati Suresh bukanlah seorang profesional IT seperti yang didakwanya.

“Dia bekerja di sebuah kilang di Sri City di Andhra Pradesh. Dia telah berbohong kepada Devipriya tentang latar belakangnya untuk membuatkan gadis itu jatuh cinta kepadanya,” kata polis.

Suresh dan Devipriya kini berada dalam tahanan polis sebelum dipanggil dalam perbicaraan di mahkamah.

Sumber : Hindustan Times

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.