Siakap Keli

#TindanChallenge, Cabaran Sia-Sia Ini Boleh Undang Risiko Lumpuh Seumur Hidup

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Selepas kegilaan Keke Challenge, Falling Stars Challenge dan Momo Challenge, terbaru ‘Tindan Challenge’ pula menjadi ikutan orang ramai.

Cabaran ‘tindan’ ini bermula dengan satu gambar sekumpulan lelaki yang viral mengambil gambar dengan cara ‘menindih’ satu sama lain daripada bawah hingga ke atas.

Mungkin nampak menyeronokkan dan pastinya mencabar, tetapi disebalik keseronokkan itu, ada risiko kecederaan yang membahayakan kesihatan.  Public Health Malaysia ada berkongsi bahana daripada aksi ini.  Semoga bermanfaat.

NGERI!

Itu reaksi seorang doktor pakar rehabilisasi apabila melihat gambar #TindanChallenge di kongsi baru baru ini.

Ibu bapa sekalian, kanak kanak masih lagi di fasa tumbesaran, tulang dan otot mereka masih lagi berkembang, rapuh dan mudah cedera.

Bebanan di bahagian tulang belakang dan tengkuk menyebabkan mereka berisiko untuk mendapat kecederaan tulang belakang dan kecederaan saraf tunjang.

Kecederaan ini juga sering berlaku apabila kanak kanak terjatuh dari tempat tinggi.

 

Komplikasi dari kecederaan tulang belakang menyebabkan risiko lumpuh seumur hidup. Berbaloikah mengejar gambar viral sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan anak anak?

FAKTA MENGENAI KECEDERAAN TULANG BELAKANG DIKALANGAN KANAK KANAK

  • Kemalangan dan JATUH merupakan antara punca utama kecederaan tulang belakang di kalangan kanak kanak.
  • 20% kecederaan saraf tunjang dan tulang belakang berlaku kepada REMAJA & KANAK KANAK.
  • Insiden untuk menjadi kacacatan tulang bengkok (skoliosis) akan meningkat 90% sekiranya seseorang mengalami kecederaan semasa kanak kanak.
  • Kanak kanak lebih berisiko untuk LUMPUH sekiranya alami kecederaan tulang belakang.
  • KOMPLIKASI bagi kanak kanak dan remaja yang mengalami kecederaan tulang belakang adalah lebih tinggi.

Ibu bapa, sila ambil perhatian akan perkongsian ini, janganlah terlalu galak mengejar “like” dan “Viral” sehingga sanggup membiarkan anak anak membuat formasi merbahaya seperti ini.

Kecederaan tulang belakang bukan main main, ketika itu air mata darah sekalipun tidak akan menebus ribuan like yang anda terima

Katakan TIDAK untuk #TindanChallenge

Sumber: Public Health Malaysia

Nur Farra