Siakap Keli

Adakah PTPTN Wajib Membayar Zakat? Ini Jawapannya Serta Apa Kesan Kepada Peminjam

Zakat merupakan rukun Islam yang keempat yang wajib ditunaikan oleh mana-mana pihak yang telah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Seperti yang kita semua, salah satu jenis zakat yang wujud adalah zakat perniagaan yang mana zakat ini wajib dibayar oleh perniagaan-perniagaan yang telah memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Bagaimana pula dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)? Adakah badan ini wajib untuk membayar zakat? Ikuti jawapannya seperti dibawah.

Seperti yang kita tahu, PTPTN adalah satu badan berkanun yang telah dilantik untuk menguruskan dana pinjaman pembelajaran tinggi yang diamanahkan oleh kerajaan. Tapi tidak ramai yang tahu PTPTN juga menjalankan pelaburan bagi memastikan badan itu sentiasa boleh beroperasi. Disebabkan itu, zakat adalah wajib bagi PTPTN sekiranya telah cukup nisab.

Dalam satu kenyataan media PTPTN berkata mereka telah pun bertemu dengan mereka-mereka yang arif berkenaan isu tersebut.

“Asas yang digunakan oleh PTPTN ialah PTPTN memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam mengeluarkan zakat. Jika dilihat, pembayaran zakat PTPTN adalah 2.5% daripada hasil pelaburan tahunan. Hasil pelaburan yang diperolehi adalah tambahan pendapatan dan bahagian peratusan zakat adalah minimum iaitu 2.5% daripada pendapatan pelaburan.

“PTPTN juga telah mendapatkan pandangan daripada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembaga Zakat Selangor mengenai perkara ini. Pada tahun ini, PTPTN juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa Lembaga Zakat Negeri juga sebelum bayaran zakat dilaksanakan. PTPTN mengucapkan terima kasih kepada semua zakat negeri kerana memberi kerjasama yang baik dalam usaha PTPTN untuk membayar zakat yang sekaligus dapat mengeratkan hubungan kerjasama dalam membantu golongan asnaf.” tulis PTPTN.

Ok, sekarang kita dah tahu PTPTN wajib membayar zakat, tapi apa pula kesannya kepada peminjam atau dana dari kerajaan?

Jawapannya adalah bayaran zakat langsung tidak memberi kesan kepada dana dari kerajaan mahupun pinjaman peminjam. Ini kerana zakat yang perlu dibayar tidak tertakluk kepada dana tersebut.

Menurut PTPTN, mereka hanya membayar zakat berdasarkan keuntungan pelaburan yang dibuat bagi semua pelaburan termasuklah deposit yang diterima melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). SSPN merupakan Skim Simpanan yang patuh syariah dan patuh syariah menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar”. Melalui konsep ini, PTPTN telah diwakilkan oleh pendeposit untuk melabur bagi pihak mereka.

Dalam Islam, zakat adalah salah satu cara untuk mengembangkan ekonomi sesebuah negara Islam. Salah satu contoh terbaik impak zakat adalah pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dimana dikatakan semua rakyatnya telah terkeluar daripada asnaf penerima zakat.

Hal ini telah diriwayatkan oleh Yahya bin Said yang merupakan gabenor pada zaman tersebut. Beliau berkata: “Saya pernah diutus Umar bin Abdul Aziz untuk memungut zakat ke Afrika. Setelah memungutnya, saya berniat untuk memberikannya kepada orang-orang fakir. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun. Umar bin Abdul Aziz telah menjadikan semua rakyat pada waktu itu kaya. Akhirnya, zakat tersebut saya putuskan untuk membeli hamba sahaya lalu memerdekakannya”.

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....