Siakap Keli

(Video)Hidup Melarat, Mangsa Perang Terpaksa Pungut Cendawan Beracun Ganti Daging Ketika Musim Sejuk

Kehidupan mangsa perang di Syria terus melarat apabila tiba musim sejuk. Penduduk-penduduk di sana dikatakan terpaksa beralih dengan memakan cendawan, sesetengahnya beracun, sebagai alternatif kepada daging untuk membekalkan protein.

Ketika penduduk di bahagian dunia lain memakan cendawan ketika jamuan tertentu dan dianggap sebagai sayuran mewah, bagi penduduk di bahagian pergunungan di Syria, Gunung Shahshabo, mereka memakan cendawan demi kelangsungan hidup.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh badan antarabangsa, peperangan menyebabkan 6 daripada 10 orang rakyat Syria hidup dalam kemiskinan tegar. Bahkan, mereka tiada akses terhadap penjagaan kesihatan, tempat tinggal, pendidikan dan makanan.

Akibat desakkan hidup, ada penduduk di kawasan gunung ini mula memanjat bukitn untuk memungut cendawan-cendawan liar sebagai sumber makanan utama.

”Kos sara hidup sangat mahal di sini. Sekilogram daging boleh mencecah sehingga USD 5 (RM 20.55), tiada yang mahu mebelinya lagi sebab tidak mampu.

”Orang mula mencari alternatif untuk menggantikan daging dengan memakan cendawan,” kata Ahmad Abu Said, penjual daging di tempat tersebut.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk kampung yang keluar setiap hari memungut cendawan memiliki ilmu mengenai tumbuhan tersebut.

Walaupun penduduk asal kampung tahu untuk membezakan antara cendawan beracun dengan tidak beracun, namun pencari cendawan baru dalam kalangan pelarian yang berpindah ke kawasan tersebut tidak memiliki pengetahuan tersebut.

”Mereka (pelarian perang) memungut semuanya. Ini menyebabkan ada pelarian yang jatuh sakit akibat memakan cendawan beracun. Ada yang dirujuk ke hospital dan meninggal dunia kerana akses perubatan yang teruk,” kata Usama Abu Khaled, salah seorang penduduk asal.

Pada tahun 2015 sahaja, dilaporkan seramai 40 orang pelarian perang meninggal dunia disebabkan memakan cendawan beracun hanya di wilayah tersebut.

Malangnya, di sini mereka tiada pilihan dalam soal makanan. Memakan cendawan ibarat perang, jika termakan cendawan beracun, maka mereka tewas dan meninggal dunia.

Sampai bila? Sehinggalah keadaan kembali pulih, nampaknya pelarian-pelarian ini tiada pilihan selain terus memungut cendawan untuk mendapat sumber protein.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=hvkfp1ULGG0]

 

Sumber: TRT World

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.