Siakap Keli
BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA. (Gambar Hiasan)

Penduduk Sikamat Cerita Detik Cemas Kediaman Dibadai Ribut

SEREMBAN, 13 Jan (Bernama) — Penduduk di tiga taman perumahan di Sikamat di sini berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka tiba-tiba bergegar dan atap berterbangan akibat dibadai ribut, petang semalam.

Rata-rata penduduk yang ditemui menceritakan kejadian ribut itu berlaku dalam keadaan cuaca amat baik dan tidak ada tanda-tanda akan hujan.

“Ketika kejadian dalam lebih kurang 3 petang, tiada hujan, tiada petir, secara tiba-tiba atap diterbangkan angin. Terdapat gegaran sehingga lampu di dapur bergoyang menyebabkan saya berhenti menjamah makanan seketika.

“Kejadian angin puting beliung itu berlaku lebih kurang dua minit dan saya melihat atap di bahagian depan rumah dan bilik saya sudah diterbangkan ke rumah berhampiran. Masuk kali ini sudah tiga kali rumah saya mengalami kerosakan disebabkan angin puting beliung yang kerap berlaku di kawasan ini,” kata Zainab Sharif, 63.

Ibu tunggal empat anak itu berkata beliau yang tergamam dengan kejadian itu terpaksa lari berlindung di ruang tamu untuk menyelamatkan diri.

Pesara kerajaan, Md Sharif Kasim, 67, berkata kejadian yang berlaku itu telah mencemaskan dirinya dan keluarga.

“Ketika itu saya bersama lima anggota keluarga berada di dalam rumah dan terlihat angin dari simpang jalan berpusing sehingga menyebabkan atap-atap rumah terbang dan terangkat.

“Bumbung yang diterbangkan itu telah menghentam rumah saya sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian siling dan bumbung. Namun saya bersyukur tiada kecederaan yang berlaku dan kami sekeluarga selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Jelebu, Mohammad Ibrahim Ahmad, 65, pula berkata kejadian sama pernah berlaku dua kali pada tahun 2017 sehingga menyebabkan 15 rumah mengalami kerosakan.

“Hal ini mungkin disebabkan kawasan di sekitar ini merupakan kawasan laluan angin jadi potensi kejadian angin puting beliung ini berlaku sekali lagi memang tak boleh nak dielakkan,” katanya.

Beliau berkata MPKK akan memohon peruntukan daripada kerajaan negeri bagi membaik pulih kediaman penduduk yang rosak.

“Sekarang ini kami minta kontraktor mengira kos untuk membaik pulih 11 kediaman yang terlibat. Jumlah itu belum lagi diketahui,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Seremban dalam kenyataan di sini hari ini berkata 11 kediaman di tiga taman perumahan di Sikamat rosak selepas dilanda ribut pada 2.30 petang semalam.

Kawasan yang terjejas ialah Rumah Rakyat Sikamat, Taman Desa Rhu dan Taman Desa Permai.

“Bagaimanapun kesemua 43 mangsa selamat dan enggan berpindah,” kata kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.