Siakap Keli

Rakyat Malaysia Keluar Thailand Perlu Imbas Suhu Badan

Rakyat Malaysia yang pulang dari negara jiran melalui pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar perlu melalui mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus chikungunya yang kini dilapor menular di Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis Teh Chai Ann berkata langkah berjaga-jaga itu dilaksanakan Jabatan Kesihatan Perlis berikutan bandar Hat Yai di Thailand dilapor dilanda virus chikungunya.

“Pada peringkat ini keadaan masih terkawal namun orang ramai perlu sentiasa diingatkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya yang pernah melawat Hat Yai supaya segera membuat pemeriksaan jika mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala dan keletihan.

Semalam, media tempatan Thailand, Bangkok Post, melaporkan virus chikungunya iaitu jangkitan yang biasanya berlaku di Afrika dikesan di Hat Yai.

Menurut laporan media berkenaan, berpuluh-puluh pesakit mendapatkan rawatan di klinik di bandar raya berkenaan akibat jangkitan virus itu.

— BERNAMA

Nur Farra