Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Negara Lain Dah Mula Simpan Bekalan Kecemasan, Rakyat Malaysia Pun Perlu Ke?

Malaysia Simpan Bekalan Kecemasan
Gambar Hiasan

Baru-baru ini, beberapa negara mula menggalakkan penduduk mereka menyimpan bekalan kecemasan di rumah sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan.

Sebagai contoh, kerajaan United Kingdom melancarkan kempen Be Ready pada 22 Oktober lalu bagi membantu penduduk menghadapi kemungkinan gangguan perkhidmatan penting.

Menerusi kempen ini, penduduk digalakkan menyediakan bekalan makanan tahan lama dan air minuman yang cukup untuk kegunaan selama tiga hari ketika kecemasan.

Langkah serupa turut menjadi perhatian di Jepun apabila Menteri Pengurusan Bencana, Goshi Hosono, merancang menyeru penduduk meningkatkan persediaan menjelang penubuhan Agensi Pengurusan Bencana pada 2 November.

Beliau menyarankan setiap keluarga menyediakan makanan, air dan barangan keperluan tandas untuk sekurang-kurangnya tiga hari, malah seminggu jika berkemampuan, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana.

Tapi, saranan ini bukan bermaksud bencana besar bakal berlaku dalam masa terdekat, sebaliknya sebagai langkah awal supaya penduduk tidak kelam-kabut jika berlaku perkara di luar jangkaan.

Mengapa Bekalan Kecemasan Penting?

Dalam kehidupan seharian, kita biasanya tak perlu risau tentang bekalan makanan kerana boleh mendapatkannya di kedai atau pasar raya berdekatan.

Namun, keadaan boleh berubah apabila berlaku bencana seperti banjir sehingga menyukarkan penduduk keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian.

Dalam situasi begini, bekalan yang sudah tersedia di rumah boleh membantu keluarga meneruskan rutin harian sementara menunggu keadaan kembali pulih.

Begitu juga jika berlaku gangguan bekalan air atau elektrik yang berpanjangan sehingga menyukarkan urusan memasak, penyimpanan makanan dan aktiviti harian yang lain.

Sekurang-kurangnya, jika bekalan asas sudah tersedia, kita tak perlu tergesa-gesa keluar mencarinya ketika keadaan kurang selamat atau kedai berdekatan terpaksa ditutup.

Apa Yang Patut Disediakan Di Rumah?

Untuk permulaan, kita boleh menyediakan air minuman, makanan tahan lama, ubat-ubatan penting, lampu suluh, bateri tambahan dan pengecas mudah alih.

Panduan rasmi United Kingdom menyarankan penyediaan tiga liter air minuman bagi setiap orang sehari untuk tempoh tiga hari, selain air tambahan untuk memasak dan kebersihan.

Bagi makanan pula, pilih barangan yang tahan lama dan biasa dimakan keluarga seperti makanan dalam tin, biskut kering, kekacang atau buah-buahan kering.

Jangan lupa barangan lain seperti kit pertolongan cemas, barangan kebersihan, wang tunai, salinan dokumen penting serta keperluan khusus untuk bayi atau haiwan peliharaan.

Tak perlu beli semua barang ini sekaligus kerana kita boleh semak stok yang sudah ada di rumah dan tambah sedikit demi sedikit mengikut kemampuan.

Pada masa sama, pastikan bekalan diperiksa secara berkala supaya makanan tidak tamat tempoh dan barang yang diperlukan masih boleh digunakan ketika kecemasan.

Perlukah Rakyat Malaysia Mula Simpan Bekalan Kecemasan?

Di Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga menyediakan panduan beg kecemasan yang merangkumi barangan asas seperti makanan tahan lama, air bersih, ubat-ubatan dan lampu suluh.

Beg kecemasan ini penting terutamanya bagi penduduk di kawasan berisiko yang mungkin perlu berpindah apabila berlaku bencana seperti banjir.

Namun, selain menyediakan beg untuk dibawa ketika berpindah, kita juga boleh mempertimbangkan untuk menyimpan bekalan makanan dan air yang mencukupi bagi kegunaan seisi keluarga selama beberapa hari.

Memandangkan banjir dan gangguan bekalan boleh berlaku sehingga menjejaskan urusan harian, mungkin sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil langkah awal dengan menyediakan stok keperluan asas di rumah.

Bukan untuk menimbulkan kebimbangan atau membeli barang secara berlebihan, tetapi sekadar memastikan kita mempunyai bekalan sendiri jika keadaan tiba-tiba berubah.

Persediaan ini juga tak semestinya memerlukan perbelanjaan besar kerana kita boleh mula dengan barangan yang memang digunakan setiap hari sebelum menambah stok mengikut keperluan.

Pada masa sama, orang ramai tetap perlu mengikuti arahan pihak berkuasa kerana bekalan di rumah bukan alasan untuk terus berada di kawasan yang diarahkan berpindah.

Akhirnya, menyimpan sedikit bekalan kecemasan bukan bermaksud kita menjangkakan perkara buruk akan berlaku, tetapi sekurang-kurangnya keluarga mempunyai persediaan jika bekalan harian sukar diperoleh.

Tak salah untuk kita mula membuat persediaan sendiri tanpa perlu menunggu arahan pihak berkuasa, sekadar sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku perkara di luar jangkaan.

Intipati
  • United Kingdom dan Jepun menggalakkan penduduk menyediakan bekalan kecemasan sekurang-kurangnya tiga hari.
  • Bekalan asas membantu keluarga menghadapi banjir, gangguan air, elektrik atau kedai ditutup.
  • NADMA menyediakan panduan beg kecemasan, terutama untuk penduduk kawasan berisiko bencana.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan