Siakap Keli
Gambar Hiasan

Apa Sebenarnya Yang Membezakan British, United Kingdom, Great Britain Dan England

Kepulauan British, United Kingdom (UK), Great Britain (GB) dan England adalah terma yang sering digunapakai oleh masyarakat dunia untuk merujuk negara antara kuasa dunia itu.

Terma yang diguna pakai memang mengelirukan selain sukar untuk menentukan kelompok manakah yang hendak ditujukan dengan terma tersebut.

Jadi kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda apakah yang dimaksudkan dengan Kepulauan British, UK, GB dan England.

Kepulauan British

Kepulauan British (merah) dan Eropah (hijau)

Kepulauan British merujuk kepada gugusan pulau yang terletak dibahagian hujung barat laut tanah besar Eropah. Kepulauan British merangkumi wilayah GB, Ireland, The Isle of Man, The Isles of Scilly, The Channel Islands (termasuklah Guernsey, Jersey, Sark dan Alderney) serta lebih 6,000 buah pulau yang lain.

United Kingdom

United Kingdom (merah) dan Republik Ireland (kelabu)

United Kingdom ataupun UK ini adalah singkatan kepada The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. UK adalah sebuah negara berdaulat, sama seperti negara-negara lain termasuklah Malaysia.

Secara mudahnya, UK ini merupakan sebuah negara yang merangkumi 4 buah negeri iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Sebelum wujudnya UK, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku dan menjadi asas kepada pembentukkan wilayah berdaulat ini iaitu:

c. 925 – Kingdom of England

Tertubuh hasil penyatuan puak-puak Anglo-Saxon yang ketika ini majoritinya menetap di wilayah England.

1536 – Kingdom of England and Wales

Satu peraturan baru yang dikuatkuasakan oleh Raja Henry VIII sekaligus menyatukan Englad dan Wales sebagai sebuah negara yang tertakluk dibawah undang-undang yang sama.

1707 – Kingdom of Great Britain

Ditubuhkan selepas penyatuan diantara Kingdom of England and Wales dan Kingdom of Scotland.

1801 – United Kingdom of Great Britain and Ireland

Ireland menyertai Kesatuan ini dan namanya diubah sekali lagi.

1922 – United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland

Republik Ireland atau Southern Ireland/Ireland Selatan keluar kesatuan dan meninggalkan saudaranya Northen Ireland/Ireland Utara. Terma UK hari ini merujuk kepada Kesatuan yang wujud sejak 1922 selepas keluarnya Republik Ireland.

Jadi bilakah UK wujud? Sesetengah berpendapat bahawa terma UK sudah digunapakai sejak 1707 untuk merujuk kepada penyatuan England, Wales dan Scotland, namun ramai yang bersetuju UK hanya wujud sejak tahun 1801 apabila Ireland dibawa masuk kedalam Kesatuan berkenaan.

Great Britain (GB)

Great Britain (merah) dan Republik Ireland + Ireland Utara (kelabu)

Menurut laman History UK, terma GB ini sebenarnya bukanlah merujuk kepada sebuah negara sebaliknya membawa maksud sebuah kawasan darat yang luas. Perkataan ‘Great’ itu digunapakai memandangkan Britain merupakan sebuah pulau terbesar yang terletak di Kepulauan British merangkumi wilayah England, Scotland dan Wales.

Perkataan Britain dipersetujui semua pihak bahawa ia berasal daripada perkataan Roman iaitu Britannia. Bagaimanapun terdapat dua pendapat terhadap penggunaan istilah Great.

Pertama, penggunaan Great bagi membezakan Britain dengan satu lagi wilayah di Perancis yang lebih kecil tetapi mempunyai nama hampir sama iaitu, Brittany.

Manakala pendapat kedua pula adalah berpunca daripada ego Raja James 1 yang mahu memberi isyarat bahawa dia bukan sahaja pemerintah kepada kerajaan Roman Britain Lama (termasuk England dan sebahagian wilayah Wales) sebaliknya raja kepada seluruh pulau. Justeru dia menggelarkan dirinya sebagai King of Great Britain.

England

England

Sama seperti Scotland dan Wales, England juga sering dianggap sebagai sebuah negara tetapi sebenarnya ia bukanlah sebuah wilayah berdaulat. Sebaliknya England adalah sebuah negeri terbesar dari segi saiz dan populasi yang berada di bawah UK.

Disebabkan itu, England memainkan peranan penting dalam kewujudan UK. Ibu negerinya iaitu London juga turut diangkat menjadi ibu negara UK.

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa:

Kepulauan British – gugusan lebih 6,000 buah pulau dengan Great Britain adalah pulau terbesar.

United Kingdom – sebuah wilayah berdaulat yang merangkumi England, Scotland, Wales dan Northen Ireland.

Great Britain – sebuah pulau besar yang menempatkan England, Scotland dan Wales.

England – sebuah negeri terbesar di dalam UK.

Sumber: History UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di