Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Perenang Britain Redah Selat Hormuz, Ketengahkan Kesan Peperangan Terhadap Alam Sekitar

Perenang Britain Redah Selat Hormuz
Kredit: Lewis Pugh

Perenang Britain, Lewis Pugh berjaya berenang merentasi Selat Hormuz selama tiga hari bagi menunjukkan kesan peperangan Iran terhadap alam sekitar.

Iklan

Pugh, penaung lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berenang sejauh 15 kilometer melalui laluan penting penghantaran minyak dari Timur Tengah.

Menurut Yayasan Lewis Pugh, sepanjang perjalanan itu beliau melihat beberapa serangan terhadap kapal dagang, letupan dari jauh serta pesawat pejuang berterbangan di udara.

Pada hari pertama, sebuah kapal tangki minyak terkena serangan kira-kira empat kilometer dari tempat Pugh sedang berenang.

Keesokan harinya, beliau melihat api menjulang di sebalik sebuah tanjung, berhampiran kapal pengangkut gas petroleum cecair, Tara Gas, yang sedang terbakar.

Perenang Britain Redah Selat Hormuz

Pugh kemudian berenang berhampiran kapal itu ketika api masih belum padam, sekali gus melihat sendiri keadaan kapal berkenaan dari jarak dekat.

“Perkara pertama yang saya fikirkan ialah nasib anak kapal yang berada di dalamnya.

“Api yang marak sangat besar. Kapal-kapal ini membawa gas yang mudah terbakar dan serangan terhadapnya boleh membawa kesan sangat buruk, bukan sahaja kepada anak kapal tetapi juga hidupan laut di sekitarnya,” kata Pugh.

Lelaki berusia 56 tahun itu melakukan renangan pertamanya di kawasan konflik bagi menggesa peperangan dihentikan, Selat Hormuz dibuka semula serta kerosakan alam sekitar diberikan perhatian.

Pugh dipercayai orang pertama yang cuba berenang sejauh itu di Selat Hormuz sejak konflik bermula pada Mac lalu.

Beliau memulakan perjalanan dari Pulau Musandam sebelum melalui kawasan pergunungan dan teluk di Semenanjung Musandam, Oman, serta hutan bakau di Iran.

Renangan itu berakhir di Tanjung Hormuz yang terletak di bahagian paling utara semenanjung berkenaan.

“Peperangan membawa penderitaan besar kepada manusia. Nyawa terkorban, keluarga terpisah dan rumah, hospital serta sekolah boleh musnah dalam beberapa minit.

“Namun, ada satu lagi mangsa yang kurang mendapat perhatian, iaitu alam semula jadi. Kerosakannya boleh berterusan lama selepas peperangan berakhir,” katanya.

Pugh turut ditemani sebuah bot sokongan dan sebuah kayak yang sentiasa berada berhampirannya sepanjang perjalanan merentasi selat tersebut.

Menurutnya, kerosakan alam sekitar akibat peperangan sering kurang mendapat perhatian berbanding kehilangan nyawa dan penderitaan yang dialami manusia.

PBB memaklumkan sekurang-kurangnya 175 kapal diserang sejak pertempuran bermula, manakala kira-kira 30 serangan menyebabkan pencemaran besar.

Selat Hormuz merupakan antara laluan kapal paling penting di dunia dan turut menjadi tempat tinggal pelbagai hidupan laut seperti dugong, penyu serta jerung paus.

Pugh yang berasal dari Plymouth berkata tumpahan minyak dan bahan pencemar lain boleh merosakkan kawasan laut untuk tempoh yang sangat lama.

Antara kawasan yang boleh terjejas termasuk terumbu karang, kawasan rumput laut dan hutan bakau yang menjadi tempat tinggal pelbagai hidupan laut.

Intipati
  • Lewis Pugh berenang 15 kilometer merentasi Selat Hormuz selama tiga hari.
  • Beliau menyaksikan serangan kapal, letupan jauh dan pesawat pejuang sepanjang perjalanan.
  • Pugh menggesa peperangan dihentikan serta kerosakan alam sekitar diberikan perhatian.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan