Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Telefon Selalu Hilang Signal Bila Masuk Lif? Ini Sebab Sebenar Di Sebaliknya

Signal telefon Hilang masuk Lif
Gambar Hiasan

Pernah tak tengah leka membalas mesej atau menonton video, tiba-tiba telefon hilang signal sebaik sahaja pintu lif tertutup?

Iklan

Situasi ini sebenarnya biasa berlaku, terutama apabila menggunakan lif di bangunan tinggi, pusat beli-belah atau kawasan bawah tanah.

Lebih pelik, sebaik sahaja pintu lif terbuka semula, bar signal telefon perlahan-lahan kembali dan sambungan internet berfungsi seperti biasa.

Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku sedangkan kita masih berada dalam bangunan yang sama dan hanya bergerak beberapa tingkat sahaja?

Rupa-rupanya, keadaan ini mempunyai kaitan dengan reka bentuk lif itu sendiri, khususnya bahan binaan yang digunakan untuk menghasilkan ruang tertutup.

Struktur Logam Lif Menjadi Penghalang Isyarat

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan lif menggunakan struktur logam seperti keluli yang boleh melemahkan gelombang radio daripada menara telekomunikasi berhampiran.

Gelombang radio inilah yang membolehkan telefon menerima isyarat daripada menara pemancar bagi membolehkan panggilan dan sambungan internet berfungsi.

Apabila seseorang memasuki lif, struktur logam di sekelilingnya boleh memantulkan serta menyerap sebahagian gelombang radio yang cuba menembusi ruang tersebut.

Keadaan ini menyebabkan isyarat telefon menjadi semakin lemah, malah boleh terputus sepenuhnya apabila pintu lif tertutup rapat.

Fenomena tersebut mempunyai persamaan dengan konsep Faraday Cage, iaitu ruang yang dikelilingi bahan pengalir elektrik sehingga menghalang atau mengurangkan kemasukan gelombang elektromagnet.

Menurut buku Indoor Radio Planning, ruang lif yang dibina menggunakan logam boleh menyebabkan kehilangan kekuatan isyarat radio melebihi 60 desibel.

Selain itu, dinding konkrit bertetulang yang mengelilingi ruang pergerakan lif turut menyukarkan gelombang radio menembusi kawasan tersebut.

Keadaan ini lebih ketara apabila lif berada di tingkat bawah tanah atau bahagian bangunan yang jauh daripada sumber pemancar telekomunikasi.

Jadi, jangan cepat menyalahkan telefon atau penyedia rangkaian sekiranya sambungan tiba-tiba terputus sebaik sahaja anda memasuki lif.

Kenapa Ada Lif Yang Masih Mempunyai Signal?

Bagaimanapun, anda mungkin pernah menaiki lif tertentu yang membolehkan panggilan telefon dan sambungan internet digunakan tanpa sebarang masalah.

Hal ini kerana sesetengah bangunan mempunyai sistem tambahan yang membantu membawa isyarat telekomunikasi masuk ke kawasan yang sukar menerima liputan.

Sebagai contoh, sistem penguat isyarat atau antena khas boleh dipasang bagi membantu menyediakan liputan rangkaian di dalam lif.

Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Mekanikal Hong Kong turut menerbitkan garis panduan khusus mengenai penyediaan liputan telekomunikasi dalam lif.

Garis panduan tersebut menjelaskan bahawa peralatan telekomunikasi boleh disepadukan dengan pemasangan lif bagi menyediakan perkhidmatan suara dan data.

Ini bermakna, masalah kehilangan signal sebenarnya boleh diatasi sekiranya bangunan mempunyai kemudahan dan pemasangan telekomunikasi yang bersesuaian.

Namun, penyediaan kemudahan tersebut bergantung pada reka bentuk bangunan, pemasangan peralatan serta perancangan liputan rangkaian oleh pihak berkaitan.

Kenapa Signal Telefon Hilang masuk Lif?

Kalau Terperangkap Dalam Lif, Macam Mana Nak Minta Bantuan?

Selain masalah internet, perkara yang lebih penting untuk diketahui ialah cara mendapatkan bantuan sekiranya lif mengalami kerosakan atau tersangkut.

Ramai mungkin menganggap telefon bimbit menjadi satu-satunya cara untuk menghubungi orang lain apabila berdepan situasi kecemasan.

Hakikatnya, lif mempunyai sistem keselamatan tersendiri yang membolehkan penumpang meminta bantuan tanpa bergantung pada liputan telefon bimbit.

Antaranya ialah butang kecemasan atau emergency button yang biasanya terletak berhampiran panel nombor tingkat di dalam lif.

Bergantung pada sistem yang dipasang, butang tersebut boleh mengaktifkan penggera atau menghubungkan penumpang dengan petugas keselamatan bangunan.

Menurut Jabatan Akses Amerika Syarikat, piawaian ASME A17.1 menetapkan keperluan sistem komunikasi dua hala bagi lif penumpang.

Sistem tersebut perlu membolehkan penumpang berhubung dengan petugas yang diberi kuasa untuk memberikan bantuan ketika berlaku kecemasan.

Di Malaysia pula, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Loji Yang Menghendaki Perakuan Kelayakan) 2024 turut menyentuh penggunaan butang kecemasan lif.

Peraturan tersebut menetapkan bahawa panduan penggunaan butang kecemasan atau butang panggilan perlu dipaparkan di dalam lif.

Jadi, sekiranya lif tiba-tiba berhenti, cuba bertenang dan gunakan butang kecemasan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak bertugas.

Paling penting, jangan cuba membuka pintu lif sendiri atau memanjat keluar kerana tindakan tersebut boleh mengundang bahaya.

Kesimpulannya, kehilangan signal ketika berada di dalam lif bukanlah disebabkan telefon rosak, sebaliknya berkait rapat dengan struktur logam dan keadaan persekitaran.

Intipati
  • Struktur logam lif boleh memantulkan dan menyerap gelombang radio daripada menara telekomunikasi.
  • Dinding konkrit bertetulang dan lokasi bawah tanah turut melemahkan liputan telefon dalam lif.
  • Penumpang lif tersangkut perlu menggunakan butang kecemasan dan tidak membuka pintu sendiri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan