Setiap individu berhak untuk dihargai serta mendapat pengiktirafan tanpa mengira jantina, usia dan latar belakang atas peranan dan sumbangan mereka dalam kehidupan.
Penghargaan ini penting bagi menunjukkan bahawa setiap individu mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri dalam masyarakat.
Oleh itu, sambutan hari-hari istimewa diwujudkan sebagai salah satu cara untuk meraikan dan menghargai setiap golongan.
Pasti ramai yang belum tahu bahawa hari ini, 19 November, merupakan Hari Lelaki Antarabangsa. Justeru, mari kita telusuri sejarah di sebalik sambutan hari istimewa ini.
Sejarah di sebalik Hari Lelaki Antarabangsa
Menurut laman rasmi International Men's Day (IMD), sambutan Hari Lelaki Antarabangsa pada 19 November diasaskan pada tahun 1999 oleh Dr. Jerome Teelucksingh, seorang pensyarah sejarah di Universiti West Indies, Trinidad dan Tobago.
Menariknya, seruan untuk mewujudkan Hari Lelaki Antarabangsa sebenarnya telah bermula sejak tahun 1960-an lagi.
Menerusi laporan The New York Times bertarikh 24 Februari 1969, ramai lelaki ketika itu secara peribadi memperjuangkan agar 23 Februari diisytiharkan sebagai Hari Lelaki Antarabangsa, setara dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.
Hari Wanita pula mula diperkenalkan pada tahun 1909.
Sejak tahun 1960-an, terdapat desakan berterusan dari pelbagai negara untuk mewujudkan Hari Lelaki Antarabangsa.
Desakan ini sering disuarakan melalui persoalan retorik berkaitan kesaksamaan jantina, seperti:
“Mengapa wanita mempunyai sambutan antarabangsa sedangkan lelaki tidak?”

Namun, desakan tersebut lebih kerap disampaikan menerusi pandangan bahawa sumbangan dan kebajikan lelaki juga wajar diberikan pengiktirafan melalui satu hari khas, bukan sekadar sebagai perbandingan dengan Hari Wanita Antarabangsa.
Dalam beberapa dekad selepas itu, terdapat beberapa usaha untuk mengadakan sambutan Hari Lelaki Antarabangsa di negara masing-masing, termasuk Kanada, Perancis, Amerika Syarikat, Colombia, Rusia dan China.
Harapannya adalah agar sambutan tersebut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa dan mendorong negara lain untuk turut serta meraikannya pada tarikh yang sama.
Walaupun sambutan kecil seperti ini pernah diadakan oleh individu di beberapa negara, usaha tersebut kurang mendapat publisiti yang diperlukan untuk menarik perhatian pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa, sehingga mengakibatkan inisiatif tersebut tidak dapat diteruskan.
Sebagai contoh, pada awal tahun 1990-an, beberapa organisasi di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia telah mengadakan acara kecil pada bulan Februari atas jemputan Profesor Thomas Oaster, yang ketika itu mengetuai Pusat Kajian Lelaki Missouri di Universiti Missouri, Kansas City.
Profesor Oaster berjaya mempromosikan sambutan tersebut pada tahun 1994. Namun, percubaan seterusnya pada tahun 1995 kurang mendapat sambutan, menyebabkan beliau menghentikan perancangan untuk meneruskannya pada tahun-tahun berikutnya.
Sementara itu, Australia juga menghentikan sambutan tersebut sehingga ia diadakan semula pada 19 November 2003.
Hanya Persatuan Hak Lelaki Malta (Maltese Association for Men's Rights) yang terus meraikan sambutan Februari tersebut setiap tahun.
Sebagai satu-satunya negara yang masih meneruskan sambutan pada bulan Februari, jawatankuasa persatuan berkenaan di Malta telah mengundi pada tahun 2009 untuk menukar tarikh sambutan kepada 19 November atas permintaan penganjur Hari Lelaki Antarabangsa dari Australia.
Kumpulan aktivis yang memperjuangkan kebajikan lelaki dan bapa di Australia itu turut menubuhkan laman web rasmi Hari Lelaki Antarabangsa, iaitu www.internationalmensday.com.
Penganjur IMD Australia turut berjaya mengajak beberapa negara lain untuk menyelaraskan sambutan mereka pada 19 November, bersama-sama negara yang telah mula menyambutnya pada tarikh berkenaan sejak ia diperkenalkan oleh Dr. Jerome Teelucksingh pada tahun 1999.
Pada tahun 2008, organisasi Dads4Kids telah mempelopori satu sambutan bersejarah di Parlimen Negeri New South Wales.
Mereka turut mengadakan sambutan yang sama pada tahun 2013 di Parlimen Persekutuan di Canberra, ibu negara Australia.
Peranan aktivis dalam memperluas sambutan
Perkembangan sambutan Hari Lelaki Antarabangsa di peringkat global juga banyak dipengaruhi oleh usaha seorang aktivis hak lelaki dari India yang juga ibu kepada dua orang anak, Uma Challa.
Hampir secara bersendirian, Uma Challa telah mempelopori sambutan Hari Lelaki Antarabangsa di India pada tahun 2007.
Ketika itu, beliau sendiri tidak mengetahui asal-usul sebenar tarikh tersebut, namun percaya bahawa sambutan ini merupakan satu platform untuk mengetengahkan isu penderaan yang dialami golongan lelaki dalam sistem perundangan yang didakwanya berat sebelah terhadap golongan berkenaan
Uma Challa merupakan pengasas beberapa organisasi, termasuk pertubuhan bukan untung, Save Indian Family Foundation, yang berpusat di Bangalore, India.

Beliau juga dianggap sebagai antara individu terawal yang mencetuskan idea untuk mengadakan Hari Kanak-Kanak Lelaki Antarabangsa (International Boys' Day).
Menurut laman rasmi IMD, sambutan Hari Lelaki Antarabangsa di India merupakan antara sambutan terbesar di peringkat global.
Uma Challa turut memberikan inspirasi kepada Warwick Marsh, pengasas Dads4Kids, untuk membawa Hari Lelaki Antarabangsa ke pentas dunia dan menyelaraskan sambutan yang sebelum ini diadakan secara berasingan oleh pelbagai gerakan lelaki di seluruh dunia.
Antara objektif yang dicadangkan bagi Hari Lelaki Antarabangsa termasuklah:
Memberi tumpuan kepada kesihatan lelaki dan kanak-kanak lelaki.
Memperbaiki hubungan antara lelaki dan wanita.
Mempromosikan kesaksamaan jantina.
Menonjolkan contoh teladan lelaki yang positif.
Memberi ruang kepada lelaki untuk menyuarakan isu diskriminasi yang mereka hadapi.
Mengiktiraf pencapaian serta sumbangan positif lelaki kepada masyarakat, tempat kerja, persahabatan, keluarga, perkahwinan dan penjagaan anak-anak.
Sambutan mula berkembang ke seluruh dunia
Pada tahun-tahun awal penganjurannya, Hari Lelaki Antarabangsa menerima sokongan yang amat menggalakkan di rantau Caribbean.
Hasil usaha berterusan menerusi jaringan kerjasama dan jemputan kepada individu di negara lain, sambutan Hari Lelaki Antarabangsa akhirnya berjaya berkembang ke peringkat antarabangsa.
Inisiatif yang bermula di Caribbean ini kini diraikan secara bebas di pelbagai negara, termasuk Singapura, Australia, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Haiti, Jamaica, Hungary, Malta, Ghana, Moldova dan Kanada.
Minat orang ramai terhadap sambutan ini juga semakin meningkat.
Sejak tahun 1999, pelbagai kaedah telah digunakan untuk meraikan Hari Lelaki Antarabangsa, antaranya:
Pemberian dan penerimaan hadiah.
Penganjuran seminar awam, forum dan persidangan.
Aktiviti pendidikan di dalam bilik darjah.
Program berkaitan kesihatan lelaki.
Aktiviti kutipan dana Movember.
Program radio dan televisyen.Ucapan khas di Parlimen.
Sambutan rasmi oleh pihak kerajaan.
Program sambutan di gereja dan pertemuan doa.
Perhimpunan aman dan perarakan.
Majlis penyampaian anugerah.
Promosi khas oleh pihak peruncitan.
Konsert muzik dan pameran seni.
Antara tema yang pernah diketengahkan ialah:
2002: Keamanan.
2003: Kesihatan lelaki.
2007: Penyembuhan dan kemaafan.
2009: Contoh teladan lelaki yang positif.
2010: Anak-anak Kita, Masa Depan Kita (Our Children, Our Future)
Bagaimanapun, perintis awal Hari Lelaki Antarabangsa mengingatkan bahawa sambutan ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan Hari Wanita Antarabangsa, sebaliknya memberikan ruang untuk mengetengahkan pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh golongan lelaki.
Sememangnya, tanpa mengira jantina, setiap individu wajar dihargai atas segala peranan dan sumbangan yang diberikan dalam kehidupan.
Selamat Hari Lelaki Antarabangsa buat semua insan bergelar lelaki.

