Siakap Keli
Al-Jazeera

Pihak Berkuasa Bongkar Aktiviti Penyeludupan Dan Buat Rampasan Tenggiling Terbesar Dalam Sejarah

Akhbar Al-Jazeera pada 12 Februari melaporkan pihak berkuasa Malaysia berjaya melumpuhkan rangkaian penyeludupan haiwan terancam apabila melakukan rampasan tenggiling dan produk berkaitan tenggiling terbesar dalam sejarah, di Sabah.

Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menyerbu sebuah kilang di Kota Kinabalu dan sebuah gudang berdekatan sekaligus membongkar kegiatan sindiket yang mengurus pengedaran sekitar 29.8 metrik tan tenggiling, minggu lepas.

Rampasan tersebut termasuklah 1,800 kotak yang mengandungi tenggiling beku yang disimpan di dalam 3 bekas simpanan sejuk beku, 572 ekor lagi tenggiling disimpan dalam 6 peti ais berasingan, 61 ekor tenggiling hidup di dalam sangkar dan bonet kereta serta 361 kilogram sisik tenggiling.

Antara lain yang turut dirampas adalah dua kaki beruang dan 4 bangkai kelawar.

Al-Jazeera

Pihak polis juga turut menahan seorang lelaki berusia 35 tahun, dipercayai pengurus kepada kilang berkenaan. Lelaki berkenaan juga turut membawa polis ke lokasi penyimpanan.

Di bawah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pengedaran Haiwan Terancam sebelum ini telah menetapkan perlindungan dan pengharaman sepenuhnya terhadap pengedaran tenggiling.

Namun, permintaan terhadap sisik haiwan berkenaan, yang menyerupai kuku manusia terhasil daripada keratin begitu tinggi menyebabkan tenggiling menjadi antara haiwan liar paling terancam di dunia.

Pihak polis juga percaya bahawa kilang berkenaan mungkin sudah beroperasi selama 7 tahun dan semua bekalan tenggiling berkenaan diperoleh secara tempatan.

”Diharap siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa dapat membongkar sepenuhnya aktiviti penyeludupan ini termasuklah rangkaian dalam negara mahupun di luar,” kata Kanitha Krashnasamy, Pengarah TRAFFIC Asia Tenggara, badan pemantau aktiviti penyeludupan hidupan liar.

TRAFFIC juga berpendapat pembongkaran yang dibuat pada 7 Februari itu menunjukkan bahawa aktiviti penyeludupan masih menjadi ancaman utama kepada Tenggiling Sunda, satu-satunya spesis tenggiling asli Malaysia dan terancam.

Al-Jazeera

Sabah mempunyai undang-undang khusus mengenai perlindungan hidupan liar dan tenggiling adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya sejak 2016.

Dibawah undang-undang berkenaan, individu yang memiliki hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya boleh didenda sehingga RM 250,000 atau penjara maksimum 6 tahun.

Berita mengenai serbuan ini turut dikongsikan oleh selebriti terkemuka tanah air, Maya Karin di akaun Twitternya.

Sumber: Al-Jazeera

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.