Siakap Keli

“Jangan Cabut Pisau Jika Anggota Badan Tertusuk,” Jururawat Kongsi Rawatan Awal Elak Risiko Kematian

Kelmarin negara kita digemparkan dengan berita seorang kanak-kanak berusia 2 tahun maut apabila dirinya tertusuk pisau ketika berlari ke dapur dan terpijak pinggan sehingga terjatuh.

Insiden itu benar-benar membuatkan ramai diantara kita terkesan dan menyedari betapa bahayanya peralatan tajam serta kesannya jika barangan tersebut diletakkan di kawasan yang terdedah.

Jururawat Bel Nawhen menerusi Facebook miliknya berkongsi langkah-langkah kecemasan yang boleh diambil oleh penjaga atau ibu bapa jika hal-hal seperti ini berlaku di rumah.

JIKA TERTUSUK OBJEK TAJAM

Ya, saya ada baca kes kanak-kanak berumur 2 tahun yang tertusuk pisau itu, gara-gara panik, neneknya mencabut pisau yang tersusuk dan akibatnya berlaku keadaan kehilangan nyawa.

Takziah saya ucapkan.

Keselamatan kanak-kanak perlu dititik beratkan dirumah. Jangan sesekali biarkan objek tajam dari bersepah di mana-mana. Seperti kes ini, adik beradik mangsa makan pelam dan tinggalkan pisau bersama pinggan diatas lantai. Kita sebagai ibu bapa perlu kerap menasihati anak cara mengendalikan objek tajam dan simpanan yang betul.

Dalam kes ini, mengapa anda DILARANG dari mencabut pisau atau apa-apa objek yang tertusuk di mana-mana anggota?

Ini kerana, kita tak tahu tahap mana kecederaan akibat tusukan itu berlaku. Salur darah mana yang dah tercedera pun kita tak tahu. Mana organ terdekat dah terkena lagilah kita tak boleh lihat dari mata kasar.

Objek tajam yang masih kekal tertusuk akan menjadi penghalang kepada berlakunya perdarahan kerana ia masih melekat di tempat yang terlibat dan memberikan tekanan pada kawasan tersebut dari terus mengalirkan darah.

Jadi, bila anda tarik objek tersebut keluar, penghalang tadi dah tidak ada, malahan geseran dari objek sewaktu dikeluarkan boleh terus mencederakan kawasan sekitarnya lalu berlakulah perdarahan yang banyak. Perdarahan yang teruk boleh mengancam nyawa.

Jadi, disini jika berlaku kecederaan tusukan seperti ini, apa yang perlu anda lakukan?

Rawatan awal untuk elak risiko kematian boleh diambil oleh mangsa atau orang sekeliling antaranya:

1.
Mangsa perlu bertenang atau mangsa ditenangkan oleh orang sekeliling. Tak perlu ramai-ramai kerumun sampai panik boleh berjangkit.

2.
Alirkan kawasan yang cedera dengan air bersih bagi tujuan membersihkan kawasan sekitar selain melihat tahap kecederaan yang oleh dilihat oleh mata kasar.

3.
Jika objek telah tiada, beri tekanan pada kawasan luka dengan kain bersih supaya darah tidak keluar.

4.
Jika objek masih ada, jangan cabut tetapi buat balutan cincin/donat dengan menggunakan kain yang bersih dan letak di sekeliling objek berkenaan kemudian tutup dengan kain bersih yang lain.

5.
Lakukan tekanan yang berterusan pada kawasan luka untuk menahan darah daripada keluar dengan banyak.

Tekanan hendaklah tidak melebihi 10 minit dan dilepaskan bagi membolehkan aliran darah ke organ atau anggota tubuh dapat dikembalikan.

Jangan ikat anggota yang tercedera kerana ia boleh merosakkan tisu dan organ badan kerana tidak mendapat bekalan darah yang secukupnya.

6.
Tinggikan anggota yang luka dari paras jantung untuk mengurangkan darah mengalir keluar.

7.
Dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999 atau bawa mangsa terus ke hospital dan klinik berdekatan.

Malang memang tidak berbau, tetapi langkah keselamatan dan rawatan awal perlu dikemas kini dari semasa ke semasa supaya kecederaan dapat dielakkan dan kehilangan nyawa dapat dihindari.

#BelNawhen
Jururawat Anda.

Sumber: Bel Nawhen

Nur Farra