Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Ciri-Ciri Produk Kesihatan “Overclaim” Yang Perlu Anda Hati-Hati
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, produk kesihatan semakin giat dipasarkan melalui pelbagai platform seperti media sosial, marketplace dan jaringan ejen pemasaran yang menggunakan teknik promosi yang kelihatan meyakinkan.
Ramai pengguna tertarik kerana mahukan kesan yang cepat. Sama ada untuk menurunkan berat badan, merawat penyakit kronik, mencantikkan kulit atau meningkatkan tahap tenaga badan.
Namun di sebalik janji manis yang dipaparkan, wujud sebahagian produk yang membuat dakwaan melampau atau overclaim. Iaitu menjanjikan kesan luar biasa yang tidak realistik dan tidak disokong oleh bukti saintifik.
Tanpa disedari, pengguna bukan sahaja berisiko kerugian wang ringgit malah boleh terdedah kepada kesan sampingan yang membahayakan kesihatan dalam jangka masa panjang.
Justeru, sebagai pengguna yang bijak kita perlu lebih peka dan sedar tentang tanda-tanda yang sering wujud pada produk kesihatan yang diragui tuntutannya.
Memahami ciri-ciri ini membantu kita menilai sesuatu produk dengan lebih rasional. Bukan sekadar percaya kepada testimoni, promosi emosi atau janji kesan segera.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa ciri-ciri produk kesihatan overclaim yang perlu anda berhati-hati sebelum membuat sebarang pembelian, agar anda tidak menjadi mangsa iklan mengelirukan dan dapat membuat keputusan yang lebih selamat serta berinformasi.
1. Menjanjikan kesembuhan 100%
Antara tanda paling jelas bagi produk kesihatan yang bersifat overclaim ialah apabila ia menjanjikan kesembuhan sepenuhnya dalam masa yang sangat singkat.
Ianya seolah-olah penyakit kronik yang bertahun-tahun dialami boleh hilang hanya selepas beberapa hari mencuba produk.
Promosi yang menggunakan ayat seperti “dijamin sembuh dalam masa seminggu”, “berkesan untuk semua peringkat umur” atau “hasil ketara selepas penggunaan pertama” sering kali direka untuk mempengaruhi emosi pengguna yang sedang mencari harapan.
Sedangkan dalam realiti perubatan, sesuatu penyakit memerlukan proses rawatan yang berbeza mengikut punca, tahap keseriusan, keadaan tubuh dan sejarah kesihatan individu.
Tubuh manusia pula bertindak balas secara berbeza terhadap bahan atau ubat tertentu.
Oleh itu, apabila sesuatu produk mendakwa kesannya sama untuk semua orang serta menjanjikan jaminan mutlak, itu menunjukkan ia menggunakan pendekatan pemasaran yang tidak rasional dan mungkin tidak berlandaskan fakta perubatan sebenar.
Produk kesihatan overclaim juga sering dipasarkan sebagai penyelesai masalah menyeluruh. Kononnya ia mampu merawat terlalu banyak penyakit dalam satu masa.
Ada yang mendakwa boleh mengawal kencing manis, menurunkan tekanan darah, merawat gout, memperbaiki buah pinggang, mencantikkan kulit, menurunkan berat badan dan meningkatkan tenaga badan.
Semuanya menggunakan satu produk yang sama. Dari sudut sains, setiap penyakit mempunyai mekanisme, punca dan rawatan yang berbeza.
Produk yang benar-benar diuji secara klinikal selalunya difokuskan pada satu fungsi atau satu sistem tubuh sahaja.
Jika satu produk dikatakan mampu menyembuhkan hampir semua penyakit, ini menunjukkan ia lebih banyak bergantung kepada retorik pemasaran berbanding kajian saintifik yang berstruktur.
Semakin banyak penyakit yang didakwa mampu dirawat, semakin tinggilah kemungkinan produk tersebut sebenarnya sekadar mencipta persepsi ajaib yang tidak realistik.
3. Hanya bergantung pada testimoni tanpa sebarang bukti kajian
Dalam kempen pemasaran produk kesihatan, testimoni sering dijadikan bahan utama untuk meyakinkan pengguna. Ia biasanya ditulis dalam bentuk kisah dramatik seperti “sebelum ini terlantar di hospital, kini kembali sihat sepenuhnya”.
Ianya lengkap dengan gambar sebelum dan selepas serta jalan cerita yang menyentuh emosi. Walaupun testimoni boleh menjadi pengalaman peribadi seseorang, ia tidak boleh dianggap sebagai bukti kukuh keberkesanan sesuatu produk.
Hal ini kerana testimoni tersebut tidak melalui proses kajian yang terkawal, tidak mempunyai perbandingan saintifik dan tidak disokong dengan data klinikal yang sah.
Produk yang benar-benar berasaskan kajian biasanya akan menyertakan laporan makmal, kajian klinikal, atau jurnal perubatan. Sekurang-kurangnya ia juga akan disertai penerangan saintifik yang jelas mengenai bagaimana ia berfungsi dalam tubuh.
Jika satu-satunya bukti yang diketengahkan hanyalah testimoni tanpa sokongan fakta, besar kemungkinan ia hanya strategi pemasaran semata-mata.
Produk kesihatan yang sah di Malaysia perlu melalui proses penilaian keselamatan dan pendaftaran di bawah NPRA (KKM).
Produk yang berdaftar akan memaparkan nombor pendaftaran yang sah, label bahan aktif, dos, nama pengeluar dan alamat syarikat. Namun bagi produk overclaim, maklumat ini sering disembunyikan atau tidak dinyatakan dengan jelas.
Sebaliknya, ia digantikan dengan istilah yang mengelirukan seperti “diluluskan makmal antarabangsa”, “standard premium antarabangsa” atau hanya memaparkan logo tanpa nombor rasmi.
Ada juga produk yang tidak menyatakan pengeluar sebenar, tidak mempunyai alamat syarikat atau menggunakan nama yang terlalu umum sehingga menyukarkan pengguna membuat semakan.
Apabila label produk tidak telus dan maklumatnya kabur, ia memberi gambaran bahawa produk tersebut mungkin tidak melalui proses penilaian keselamatan yang betul.
5. Menggunakan bahasa promosi yang sensasi
Selain itu, produk kesihatan overclaim sering menggunakan bahasa promosi yang terlalu sensasi dan bersifat provokatif.
Ayat seperti “rahsia yang tidak diberitahu doktor”, “formula yang disembunyikan hospital” atau “ubat moden tidak mampu merawat tetapi produk ini boleh” digunakan bagi mencipta naratif seolah-olah produk ini lebih hebat daripada rawatan perubatan.
Pendekatan ini biasanya bertujuan menimbulkan rasa curiga terhadap institusi kesihatan supaya pengguna mempercayai produk tersebut sebagai alternatif ajaib.
Hakikatnya, kenyataan seperti ini tidak berasas dan hanya memanipulasi emosi orang ramai. Terutama mereka yang sedang berada dalam keadaan tertekan dan sedang mencari harapan baharu untuk penyakit yang dihadapi.
Bagi menambah elemen ilmiah, ada produk kesihatan yang menggunakan istilah pseudo-sains seperti “menyahtoksin darah secara total”, “mengaktifkan sel stem dalam beberapa jam” atau “memperbaiki DNA dengan pantas”.
Istilah sebegini kedengaran meyakinkan bagi mereka yang tidak biasa dengan bahasa perubata. Namun apabila diteliti, tiada penerangan yang jelas mengenai bagaimana proses tersebut berlaku dalam tubuh manusia.
Produk yang berasaskan sains sebenar akan menerangkan mekanisme tindakannya secara terperinci, merujuk jurnal penyelidikan atau kajian klinikal.
Jika istilah saintifik hanya digunakan sebagai hiasan bahasa tanpa sokongan fakta, besar kemungkinan ia sekadar diolah untuk memberi imej hebat kepada produk.
7. Menyasarkan pesakit kronik
Satu lagi ciri produk overclaim yang sering ditemui ialah sasaran pemasaran produk ini banyak tertumpu kepada pesakit kronik seperti penghidap diabetes, sakit jantung, buah pinggang, kanser atau strok.
Testimoni atau iklan biasanya menggambarkan individu yang kononnya sudah tidak lagi bergantung kepada ubat hospital selepas menggunakan produk tersebut. Golongan pesakit kronik lazimnya memerlukan rawatan jangka panjang dan pemantauan berkala.
Justeru mereka lebih cenderung untuk mencuba apa sahaja produk yang menjanjikan kelegaan segera. Taktik pemasaran yang memanipulasi emosi pesakit sebegini bukan sahaja tidak beretika malah boleh menyebabkan mereka mengabaikan rawatan sebenar yang lebih selamat dan terbukti berkesan.
Ada juga produk kesihatan overclaim yang dijual pada harga sangat tinggi kononnya kerana menggunakan bahan eksklusif, herba premium atau teknologi formulasi istimewa.
Walau bagaimanapun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, maklumat kandungan tidak jelas, dos tidak dinyatakan dan sumber bahan tidak diterangkan secara telus.
Harga yang mahal seolah-olah digunakan untuk mencipta persepsi lebih berkesa. Sedangkan nilai sebenar produk tidak setimpal dengan kos yang dikenakan. Pengguna akhirnya membayar harga tinggi untuk produk yang belum tentu memberi kesan yang dijanjikan.
9. Menyuruh pengguna berhenti mengambil ubat hospital
Inilah ciri paling membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan kesihatan secara langsung. Ada segelintir produk yang secara halus atau terang-terangan menyarankan pengguna berhenti mengambil ubat hospital dan hanya bergantung pada produk mereka.
Tindakan ini amat berbahaya kerana ubat yang diberikan oleh doktor dirumus berdasarkan diagnosis, rekod kesihatan dan keperluan klinikal pesakit.
Menghentikan ubat tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan komplikasi serius. Ianya termasuk kegagalan organ, serangan jantung atau keadaan penyakit yang semakin merosot.
Produk yang berani menggalakkan tindakan seperti ini lazimnya tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Akhir sekali, produk yang gagal menyenaraikan kandungan secara lengkap atau hanya memaparkan frasa seperti ramuan khas atau formulasi rahsia juga merupakan tanda amaran penting.
Pengguna berhak mengetahui bahan yang terkandung dalam sesuatu produk. Terutama bagi mereka yang mempunyai alahan, sedang hamil, mengambil ubat tertentu atau mempunyai sejarah penyakit kronik.
Kekurangan ketelusan ini menunjukkan bahawa pengeluar mungkin cuba menyembunyikan kandungan sebenar atau tidak melalui proses formulasi yang sah dan terkawal. Produk yang tidak jelas kandungannya boleh mendatangkan risiko kesihatan tanpa disedari.
Sebagai pengguna, kita perlu mendidik diri agar lebih berhati-hati terhadap sebarang produk kesihatan yang dipromosikan dengan janji luar biasa.
Jangan terlalu mudah terpengaruh dengan testimoni dramatik, janji kesembuhan segera atau dakwaan yang kedengaran terlalu sempurna untuk dipercayai.
Sentiasa semak status pendaftaran KKM, baca label dengan teliti dan rujuk profesional kesihatan jika mempunyai penyakit kronik atau sedang menjalani rawatan.
Kesihatan bukan ruang untuk bereksperimen sewenang-wenangnya. Pilihlah dengan bijak kerana keputusan yang kita buat hari ini boleh memberi kesan besar kepada kesejahteraan diri pada masa hadapan.
Sumber : pharmacy.moh.gov
BACA : Escape & Relax: 10 Lokasi Glamping Paling Popular di Malaysia