Siakap Keli
Gambar : Facebook

Siapa Sangka Tempat Sampah Haram Kini Jadi Kolam Air Panas Terkenal

Berkat kegigihan seorang anak jati Semenyih, sebuah kawasan pembuangan sampah haram berjaya ditukar menjadi kolam air panas yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Kini, Kolam Air Panas Sungai Lalang, terletak kira-kira 12km dari Pekan Semenyih, mempunyai dua kolam air panas yang keseluruhannya bersaiz kira-kira 36,000 kaki persegi dan sedalam paras pinggang, selain dilengkapi dengan kemudahan lain seperti gerai makan, surau dan tandas.

Gambar : Facebook

Bersebelahan kolam itu, turut disediakan trek untuk sukan lasak seperti larian lasak dan basikal bukit, yang diusahakan oleh individu yang sama.

Pengusaha kolam air panas itu, Hanim Raduan, 50, berkata kewujudan sumber air panas semula jadi atau diistilahkan sebagai ‘kebocoran perut bumi’ di kawasan itu telah diketahui penduduk setempat sejak lebih 60 tahun lalu.

Namun, katanya pada waktu itu tiada siapa yang mempedulikan kawasan tersebut sehingga menjadi kawasan ‘gelap’ dengan pelbagai aktiviti negatif dan dipenuhi dengan sampah.

Gambar : Facebook

Justeru, pada tahun 2010 beliau nekad untuk membangunkan tanah yang dipajak dari kerajaan negeri Selangor itu dengan menggunakan modalnya sendiri.

“Pada masa itu, saya terpaksa mengambil masa selama sebulan hanya untuk membuang sampah. Lori 10 tan digunakan untuk mengangkut sampah sebanyak lebih 200 kali. Saya juga guna dua buah mesin penggali,” katanya ketika ditemui sumber di sini.

Hanim membelanjakan RM90,000 hanya untuk membuang sampah.

Katanya selepas itu, beliau membangunkan kawasan seluas 1.04 hektar itu selama dua tahun, sebelum ia mula dibuka kepada pengunjung pada 2012.

Kolam air panas yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa seperti dari Korea dan Taiwan itu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Semenyih yang sememangnya terkenal dengan beberapa lokasi menarik seperti Bukit Broga.

Hanim berkata beliau bersyukur kerana kolam air panas yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri semakin dikenali sehingga pernah menjadi lokasi pembikinan beberapa filem tempatan dan Singapura.

Seorang pengunjung Azmi Ibrahim, 66, berkata kolam air panas tersebut berpotensi untuk dimajukan lagi kerana persekitarannya yang cantik dan selesa.

Gambar : Facebook
Gambar : Facebook

“Sebelum ini saya tidak tahu ada tempat sebegini di Semenyih. Walaupun kedudukannya agak jauh ke dalam kampung tetapi senang hendak cari tempat ini kerana ada papan tanda jalan,” kata pesara kerajaan yang datang dari Pulau Pinang itu.

V. Renusa, 38, yang berasal dari Kajang berkata beliau sekeluarga sering datang ke kolam air panas tersebut kerana menyedari kebaikan berendam di kolam air panas yang dipercayai mampu melancarkan pengaliran darah dan memberi kesan positif kepada tubuh badan.

“Tempat ini juga telah banyak berubah, semasa baru buka tandas pun tidak ada, kini banyak fasiliti yang disediakan. Saya juga telah mencadangkan tempat ini kepada rakan-rakan yang lain,” katanya.

Sumber : Bernama

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di