Siakap Keli

Antara Lubang Galian Manusia Terbesar Di Dunia, Bekas Lombong Ini Dirancang Ditukar Sebagai Bandar Moden Bawah Tanah

Lombong Mirny ataupun sering disebut sebagai Mir Mine adalah lombong ataupun lubang galian antara terbesar di dunia yang pernah dibuat oleh manusia.

Terletak di Timur Siberia, lombong ini menjadi kawasan perlombongan belian suatu ketika dahulu dibawah pemerintahan kerajaan Republik Autonomi Sosialis Soviet Yakut.

Kawasan berkenaan dikenal pasti mempunyai deposit belian yang banyak hasil aktiviti carigali yang dijalankan oleh ahli geologis Soviet pada tahun 1955.

Ketika ditinggalkan, lombong berkenaan mempunyai kedalaman 525 meter dan diameter seluas 1,200 meter menjadikan Mir Mine adalah lubang binaan manusia ke-4 terbesar di dunia.

Penduduk di sekitar lombong ini mendakwa ada helikopter yang pernah hampir disedut masuk ke dalam lombong akibat tekanan udara yang kuat di bahagian dalam, bagaimanapun tiada kes sedemikian rupa pernah dilaporkan.

Tidak lagi digunakan sejak 2001 setelah lebih 40 tahun beroperasi, Mir Mine ketika ini dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah bandar moden bawah tanah.

Sebuah studio telah pun membangunkan pelan konsep digital bandar moden bawah tanah berkenaan yang dinamakan sebagai Eco 2020.

AB Ellis Limited ketika mengemukan rancangan tersebut pada 2010 berkata idea berkenaan diusulkan bagi menghidupkan semula kawasan sekitar yang dianggap mati sebaik sahaja lombong berkenaan berhenti beroperasi.

Bahagian atas lombong berkenaan dirancang untuk ditutup dengan sebuah kubah besar lutsinar manakala dibahagian dalam pula akan menempatkan kompleks perumahan serta taman.

Menurut studio itu lagi, menurut pelan perancangan mereka, Eco 2020 dijangka mampu menampung sehingga 100 ribu penduduk.

Bandar berkenaan sekiranya berjaya direalisasikan suatu hari nanti dijangka akan turut menempatkan kawasan pertanian, hutan simpan dan kawasan rekreasi.

Dom lutsinar selain berfungsi sebagai pelindung, ia juga dirancang untuk dipasang dengan panel solar bagi membekalkan tenaga bersih kepada bandar tersebut.

Dengan bantuan teknologi canggih, cahaya matahari dibahagian permukaan akan disalur ke bahagian hutan simpan yang terletah di bawah kompleks perumahan bagi membantu proses penghasilan oksigen secara semula jadi.

Pada bahagian penempatan pula, penduduk dijangka akan menikmati cuaca dengan suhu sederhana panas dan tidak akan terjejas dengan suhu luar biarpun berada di dalam musim sejuk.

Walaupun Eco 2020 hanyalah sebuah bandar khayalan, namun pemerhati dalam dunia industri pembinaan tidak menolak sepenuhnya idea tersebut dan tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Sumber: Interesting Engineering

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.