Siakap Keli

Bermula Dengan ‘Tetris’, Kini Pemuda Ini Raih Pendapatan Terkumpul Sehingga RM4 Juta Bermain ‘Dota 2’

Bermula dengan bermain Tetris, iaitu satu permainan batu-bata ketika berusia empat tahun, Yeik Nai Zheng, 23, seorang pemain profesional Dota 2, dan lebih dikenali dengan nama ‘MidOne’, telah menjadikan E-sports sebagai kerjaya profesional beliau sejak empat tahun lepas.

Anak jati Bagan Serai, Kerian, itu berkata dia yang merupakan anak bongsu dalam empat beradik, mula dipengaruhi bermain permainan alam maya, selepas melihat abang-abangnya yang enam tahun lebih tua daripadanya.

“Ketika berumur 13 tahun, saya mula menyertai satu kejohanan di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang bersama rakan-rakan. Ketika itu saya terpaksa bersusah payah untuk berulang-alik bersama rakan menyertai kejohanan itu.

“Hadiah kejohanan itu bernilai RM1 juta tetapi kami kalah, dan saya rasakan sedih sangat. Tetapi saya tidak berputus asa dan selepas saya tamat sekolah menengah, saya mula berkenalan dengan pemain-pemain lain dan pada ketika itulah saya telah dikenali dan bermain di peringkat antarabangsa,” katanya yang ketika itu berusia 19 tahun dan masih menuntut di Universiti Multimedia, Melaka.

Beliau berkata kepada media di Persidangan Industri Profesional E-sport (EPIC) 2019 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yeik berkata ada suatu ketika beliau berasa mahu berhenti bermain, namun beliau tetap cekal dan berjaya menghadapinya untuk berada pada tahap sekarang.

“Ada ketikanya, saya rasa saya sudah tidak boleh lakukannya lagi dan mahu berhenti kerana pada ketika itu semua kejohanan yang saya sertai saya kalah, tetapi saya tidak mengalah dan mencari anggota pasukan yang bagus dan mengembila peluang yang ada untuk menjadi apa yang saya capai sekarang,” katanya.

Secara berseloroh, beliau berkata ada masanya ibu bapanya tidak merestui minatnya terhadap sukan alam maya ini, tetapi baginya ia bukan alasan dan cuba mencari jalan bermain dengan membahagikan masa siang untuk belajar dan malam untuk bermain.

“Waktu kecil saya tinggal bersama nenek di Bagan Serai, ketika itu memang keluarga marah-marah, tetapi saya tetap terus bermain. Jadi jika ibu bapa tidak bagi awak main, awak perlu fikir macam mana yang terbaik dengan mencari jalan untuk terus bermain,” katanya.

Pada hari ini, Yeik dilantik sebagai Ikon E-sports Perak bagi tahun 2019, yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Howard Lee Chuan How.

Berdasarkan semakan di laman MYGAMEON yang menyenaraikan senarai pemain ternama, Yeik kini merupakan pemain Dota 2  utama dunia dengan pendapatan terkumpul hasil kejohanan dimenangi kira RM4.16 juta.

Sebelum ini, Yeik bermain untuk pasukan negara, Fnatic sebelum membuat keputusan keluar daripada pasukan itu, selepas berakhirnya Kejohanan Antarabangsa 2016, dan kini selesa bersama ‘Secret’, iaitu sebuah organisasi E-sports di Eropah.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)