Siakap Keli
Gambar: Park Seed

Betulkah Yang Lobak Pada Asalnya Bukan Berwarna Oren?

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sumber makanan kita pada hari ini kebanyakannya telah termutasi dan mengalami beberapa siri evolusi sejak dari zaman dahulu.

Antara sumber makanan yang berevolusi adalah lobak. Pasti ramai yang tidak percaya atau tidak mengetahui bahawa lobak yang juga digunakan dalam masakan dan baik untuk kesihatan mata pada asalnya bukan lah berwarna oren.

Lobak yang terdapat pada zaman dahulu kala pada asalnya adalah berwarna ungu, putih, merah dan kuning. Jadi, bagaimana lobak pada hari ini telah bertukar menjadi warna oren?

Begini ceritanya.

Menurut seorang pembangun pameran makanan, Paul Stepahin menerusi blog sains, Tested ada menceritakan bahawa hampir kesemua buah-buahan citrus berevolusi dari tanah selatan China kira-kira 20 juta tahun yang lalu.

Di India pada ketika itu, oren dikenali sebagai “naranga” dalam bahasa sanskritnya. Kemudian, ia dibawa ke barat dan dikenali sebagai narang oleh orang Parsi. Selepas dibawa ke Perancis ianya dikenali sebagai un naranj.

Pada tahun 35 sebelum masihi, terdapat sebuah bandar yang terletak di selatan Perancis. Ianya telah diasaskan oleh orang Rome. Pada ketika itu, ianya dikenali sebagai Aurasio dan dalam bahasa sanskritnya pula dikenali sebagai Aurenja. Ahli linguistik percaya bahawa orang Perancis ketika itu telah tersilap menyebutnya daripada un naranj ke orange.

Ianya adalah kerana orang Perancis pada ketika itu terkeliru dan telah mengaitkan suku kata un kepada or yang membawa maksud emas. Kemudian ianya disebut sebagai orange, maka terciptalah perkataan orange yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

Jadi, kaitannya dengan lobak adalah seperti berikut.

Seorang lelaki bernama William the Silent dari Nassau telah mewarisi tampuk pemerintahan di Orange pada tahun 1544, dia juga dikenali sebagai William of Orange. Beliau telah mengetuai Belanda dalam menentang bangsa Sepanyol dan menang seterusnya beliau telah menubuhkan Republik Belanda pada lewat 1500-an.

Gambar: Pinterest

Pada ketika itu, orang Belanda terkenal sebagai petani lobak. Lobak yang mereka tanam pada ketika itu berwarna ungu, putih, merah dan kuning.

Kemudian, pada kurun ke 17, satu baka lobak baru yang mengandungi beta-karotin berwarna oren telah dibangunkan. Menurut Christian Nordqvist menerusi Medical News Today, beta-karotin ialah pigmen berwarna merah/oren yang banyak ditemui di dalam buah-buahan dan sayuran.

Antara buah-buahan dan sayuran yang mengandungi beta-karotin ialah ubi keledek, brokoli, labu, bayam, lada merah dan banyak lagi.

Gambar: Medical News Today

Seterusnya, bagi memperingati William of Orange, orang Belanda telah menanam lobak berwarna oren itu secara besar-besaran sehinggakan lobak jenis lain diketepikan.

Walaupun kewujudan lobak berwarna oren telah mendominasi pasaran, lobak berwarna lain juga masih wujud sehingga ke hari ini. Dan William of Orange lah orang yang menjadi punca lobak berwarna oren lebih terkenal berbanding lobak lain.

Sumber: TESTED

Aqmal Ezany

I write what is right