Siakap Keli

Jadi Imam Solat Berdua-Duan Dengan Pasangan Bukan Mahram? Ini Jawapan Mufti

Kehidupan dalam dunia moden hari ini menjanjikan cabaran yang luar biasa, kadang-kadang sehingga mampu mencabar pegangan hidup.

Mungkin terpaksa, seperti soalan yang diajukan oleh seorang lelaki kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri mengenai persoalan menjadi imam solat kepada teman wanitanya yang bukan mahram.

Lelaki berkenaan juga mendedahkan bahawa pihaknya terpaksa bersekedudukan kerana terikat dengan perjanjian kontrak sewa rumah.

Berikut jawapan yang diberikan oleh Mufti. Semoga bermanfaat.

Soalan:

Assalamualaikum. Saya lelaki bujang dan dalam usaha memperbaiki diri sendiri. Saya tinggal bersama dengan teman wanita saya dan bersekedudukan dalam rumah dan katil yang sama. Kami juga melakukan solat berjemaah dan saya menjadi imam kepada teman wanita saya.

Soalan saya, adakah sah solat saya mengimamkan wanita yang bukan mahram dalam keadaan berdua ?

Kami belum mampu tinggal berasingan disebabkan terikat dengan kontrak rumah sewa.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Bersekedudukan dengan pasangan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Maksud hadis ini adalah: ‘’Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang’’. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/109).

Hikmah daripada larangan ini adalah, supaya perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau muqaddimah (permulaan) zina dapat dielakkan. Ini kerana, perbuatan khalwat (berdua-duan) itu sendiri merupakan suatu ruang yang besar untuk dimasuki oleh syaitan dalam usaha merosakkan anak Adam serta menimbulkan fitnah yang besar pada diri mereka. Hal ini bertepatan dengan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.

Riwayat Al-Tirmizi (2165)

Syeikh Muhammad Bin Abd Al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Makna hadis ini adalah: ‘’Syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan’’. Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (6/320).

Maka berdasarkan beberapa dalil yang kami kongsikan di atas, dapatlah kita fahami bahawa berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu perbuatan yang haram lagi ditegah. Ini sama ada khalwat itu berlaku di taman-taman bunga, taman tasik, di dalam bilik, rumah sewa, hotel dan seumpamanya.

Kami cadangkan, saudara hendaklah berusaha untuk mempercepatkan proses perkahwinan dengan teman wanita tersebut. Lebih-lebih lagi apabila anda berdua saling mencintai antara satu sama lain. Maka bukti kecintaan yang sebenar adalah dengan cara menghalalkan hubungan melalui perkahwinan. Bahkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ

Maksudnya: Kami tidak melihat (suatu yang terbaik) bagi dua orang yang saling berkasih sayang melainkan untuk bernikah.

Riwayat Ibn Majah (1847)

Imam al-Son’aani dalam mensyarahkan hadis ini menukilkan pendapat Al-Thibi yang menyebut: ‘’Maknanya adalah: Apabila seorang lelaki ajnabi melihat ke arah wanita ajnabiyyah lalu wanita tersebut mengambil tempat dalam seluruh jantung hatinya, maka bernikah dengan perempuan tersebut akan mewariskan pertambahan rasa cinta (bagi kedua-duanya)’’. Rujuk Al-Tanwir Syarah Al-Jami’ Al-Saghir, Al-Son’ani (9/106).

Kemudian Imam al-Son’ani berkata: ‘’Ada juga pendapat yang menyatakan maksudnya: ‘’Sesungguhnya sebesar-besar ubat yang dapat merawat perasaan cinta adalah nikah. Perkahwinan merupakan suatu rawatan cinta yang tidak dapat digantikan dengan selainnya selama mana seseorang itu menemui jalan ke arah melangsungkannya (perkahwinan)’’. Rujuk Al-Tanwir Syarah Al-Jami’ Al-Saghir, Al-Son’ani (9/106).

Di samping itu, perkahwinan mendatangkan manfaat dan kebaikan yang begitu besar kepada mereka yang menjadikan ia sebagai jalan ketakwaan dan mengelakkan maksiat. Kami telah menjelaskan secara panjang lebar berkenaan dengan tujuan-tujuan dan hikmah pensyariatan nikah di dalam ruangan Al-Kafi Siri Ke- 696 : Bernikah Boleh Mendatangkan Kekayaan ? yang boleh dibaca menerusi pautan berikut:

https://bit.ly/2tCRlJf

Berkaitan dengan isu menjadi imam kepada wanita bukan mahram secara berduaan pula, kami kongsikan beberapa pandangan dari ulama Syafi’eyyah berkenaan isu ini. Imam al-Shirazi dalam kitabnya Al-Muhazzab fi al-Fiqh Al-Syafi’e menyebut:

ويكره أن يصلي الرجل بامرأة أجنبية لما روي أن النبي قال لا يخلون رجل بامرأة فإن ثالثهما الشيطان

Maksudnya: Dan dimakruhkan untuk seorang lelaki itu menunaikan solat bersama dengan seorang perempuan ajnabiyyah (asing/bukan mahram) berdasarkan apa yang telah diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda: Tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dengan seorang perempuan melainkan yang ketiganya adalah syaitan.

Manakala Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas ucapan Imam al-Shirazi tersebut beliau berkata:

المراد بالكراهة كراهة تحريم ، هذا إذا خلا بها

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan karahah di situ adalah makruh tahrim. Ini sekiranya lelaki itu berduaan dengan perempuan tersebut.

Kemudian beliau berkata lagi:

قال أصحابنا : إذا أم الرجل بامرأته أو محرم له ، وخلا بها جاز بلا كراهة ; لأنه يباح له الخلوة بها في غير الصلاة ، وإن أم بأجنبية وخلا بها حرم ذلك عليه وعليها ، للأحاديث الصحيحة التي سأذكرها إن شاء الله – تعالى ، وإن أم بأجنبيات وخلا بهن فطريقان : قطع الجمهور بالجواز

Maksudnya: Berkata para ashab kami (para ulama Syafi’eyyah): Apabila seorang lelaki menjadi imam kepada isterinya atau kepada mahram baginya, serta berkhalwat dengannya maka ia adalah dibolehkan tanpa sebarang karahah (kemakruhan).

Ini kerana, dibolehkan buatnya untuk berkhalwat dengannya (isteri atau mahram) di luar solat. Sekiranya dia menjadi imam kepada wanita ajnabiyyah dan berduaan dengannya maka yang demikian itu haram ke atas dirinya dan juga ke atas wanita tersebut.

Ini berdasarkan hadis-hadis sahih yang akan aku nyatakan Insha Allah. Dan sekiranya seorang lelaki itu menjadi imam kepada wanita-wanita ajnabiyyah dan berkhalwat bersama mereka maka ada dua pendapat. Majoriti ulama memutuskan bahawa ia adalah dibolehkan. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/173).

Meskipun begitu, solat-solat yang dilakukan antara seorang lelaki dan juga seorang perempuan ajnabiyyah (bukan mahram) adalah sah. Ini kerana, berlakunya infikak al-jihah (sudut berasingan) dalam hal ini. Haramnya perbuatan ini adalah disebabkan khalwat atau berdua-duaan antara bukan mahram yang mana ini tidak ada kaitan dengan perbuatan-perbuatan solat. Manakala solat berjamaah yang dilakukan dengan menepati rukun-rukun dan syaratnya adalah sah.

Ini samalah seperti keadaan seseorang yang menunaikan solat dengan pakaian curi. Perbuatan mencuri pakaian adalah haram, manakala solat yang didirikan tersebut adalah sah.

Sebagai faedah tambahan, sekiranya seorang lelaki itu menjadi imam kepada tunangnya yang juga bukan mahram secara berdua, namun di tempat tersebut adanya keluarga atau orang lain, maka hal ini tidak menjadi haram kerana tidak berlaku unsur khalwat, sekalipun keluarga yang berada di situ tidak turut serta solat bersama.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa perbuatan solat berdua dengan wanita bukan mahram adalah haram disebabkan khalwat. Manakala solat anda berdua adalah sah selama mana menepati rukun rukun dan syarat sah solat.

Nasihat kami, segeralah proses perkahwinan bagi menghalalkan hubungan anda. Sentiasalah membaca doa yang diajarkan di dalam al-Quran:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami penyejuk mata dari isteri-isteri dan juga zuriat-zuriat kami, dan jadikanlah kami sebagai imam bagi golongan yang bertakwa.

Surah Al-Furqan (74)

Marilah kita bersama meneliti sedalamnya doa untuk kita ini menjadi imam kepada golongan yang bertakwa kepada Allah. Imam mestilah seorang yang bertakwa demikian juga makmum adalah dari kalangan mereka yang takutkan Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Yakinlah bahawa sesiapa yang meninggalkan suatu perkara itu kerana Allah, nescaya Allah S.W.T akan menggantikannya dengan suatu yang lebih baik.

Akhir kalam, persoalan yang anda kemukakan kepada kami ini adalah zahir perasaan inginkan kebaikan dalam diri anda. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan urusan anda dan kita semua dalam menjadi hamba Allah yang taat kepada-Nya. Ameen.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.