Siakap Keli

Terperangkap Lama Dalam Pesawat, Juruterbang Baik Hati ‘Order’ Pizza Hantar Terus Depan Pintu

Terkandas selama beberapa jam akibat salji, semua penumpang pesawat Air Canada mula berasa resah dan tertekan dengan keadaan tersebut. Tetapi juruterbang kapal terbang itu tahu bagaimana meredakan ketegangan tersebut. Caranya adalah dengan menghantar 23 kotak piza terus ke pintu pesawat.

Kejadian tersebut berlaku pada malam isnin lalu apabila penerbangan Air Canada 608 meninggalkan Toronto menuju Halifax, Nova Scotia. Namun, cuaca buruk memaksa pesawat itu dialihkan ke Fredericton, New Brunswick.

Ribut salji yang melanda menyebabkan mereka terperangkap dalam kapal terbang selama beberapa jam sehingga juruterbang memutuskan untuk menggembirakan penumpang dengan memesan makanan.

Jofee Larivee, pengurus di Minglers Restaurant and Pub di Oromocto, telah menerima panggilan daripada juruterbang itu dan mengambil sebanyak 23 pesanan pizza dengan inti keju dan pepperoni.

”Kami memberitahu beliau bahawa kami boleh menyiapkan pesanan tersebut dalam tempoh satu jam atau satu jam setengah,” kata Larivee.

Larivee berkata, mereka tidak pernah menghantar pizza terus ke pintu pesawat melalui perkhidmatan penghantaran Mingler.

Seorang penumpang, Philomena Hughes memberitahu CNN bahawa dia memuji tindakan juruterbang itu dalam memberi maklumat kepada penumpang dan memberi makan selepas berada di dalam pesawat selama kira-kira lapan jam dari waktu mereka menaiki penerbangan ke Toronto.

”Ia merupakan sesuatu yang sangat memberi tekanan kepada penumpang tetapi juruterbang membantu meredakannya dengan cara ini.

”Ramai yang membantu termasuklah beberapa juruterbang Air Canada Jazz yang menaiki pesawat itu dengan mengambil piza tersebut dan mengagihkannya kepada semua.

”Semua orang turut memberikan wang sama sedikit disebabkan itu juruterbang tidak mahu menerima pujian untuk dirinya seorang,” katanya.

Pada masa sama, Larivee juga memuji sikap juruterbang kerana menghubungi restorannya pada selasa untuk berterima kasih kepada kakitangan yang berjaya menghantar piza ke pesawat itu dalam masa yang cepat.

Difahamkan, penerbangan tersebut dijadual tiba di Halifax pada petang selasa lalu.

Sumber : CBS Sacramento

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.