Siakap Keli
Gambar Hiasan

Catuan Air Dilaksana Di Beberapa Kawasan Di Kedah – Mukhriz

ALOR SETAR, 17 Mac (Bernama) — Catuan air telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Kedah berikutan masalah bekalan air yang tidak mencukupi akibat cuaca panas melampau sejak beberapa bulan lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, catuan itu hanya melibatkan kawasan yang terjejas teruk, namun sehingga kini tiada kawasan yang diisytiharkan darurat.

“Catuan air tengok kawasan dulu dan bagi kawasan yang tiada masalah air mungkin kita boleh salurkan air itu ke kawasan lain yang memerlukan, kita akan sentiasa pantau keadaan.

“Kempen jimatkan air juga dilancarkan untuk memberi kesedaran kepada rakyat dan saya minta semua pengguna menggunakan air dengan penuh cermat,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Dwi-Bulanan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan telah mencari beberapa penyelesaian bagi mengatasi masalah itu.

“Kita akan cari jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek dahulu kerana kalau jangka masa panjang ia melibatkan loji rawatan air, mana perlu baiki dan ganti paip dan booster pam, itu semua makan masa dan belanja yang banyak.

“Dalam masa kemarau ini, paling diharapkan oleh rakyat Kedah adalah penyelesaian jangka masa pendek dan antara pendekatan yang diambil ialah menghantar 28 lori air ke Merbok, saya juga ada minta tambahan ‘tanker’ daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada negeri lain antaranya Perak dan Selangor yang memberi bantuan lori tangki air.

Rabu lepas, dalam kenyataan SADA memaklumkan pihaknya menerima bantuan 13 lori tangki air dari Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Pengurusan Air Selangor (AIS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dalam usaha membantu menyalurkan air ke kawasan terjejas.

Antara kawasan mengalami gangguan bekalan ialah Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.