Siakap Keli
Gambar : www.imore.com

Keganasan Tidak Ada Kaitan Dengan Permainan PUBG – Syed Saddiq

Sepang : Permainan dalam talian termasuk PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) tidak wajar dikaitkan dengan unsur keganasan seperti yang berlaku di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Percayalah, ada atau tiada games (permainan berunsur penembakan secara dalam talian), kalau orang (suspek) dah ada fahaman ekstremisme… mereka akan lakukan dan laksanakan keganasan itu,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian kepada sumber pada majlis perasmian Festival Asia GT di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata permainan berkenaan tiada kaitan dengan keganasan yang berlaku sebaliknya ia lebih besar daripada itu, serta jangan cepat menyalahkan permainan itu.

“Kita harus beri penghormatan kepada mangsa. Adakah ia bermaksud kita kena haramkan semua games kerana ia berkait rapat dengan unsur penembakan? Saya rasa ia (insiden di Christchurch) lebih besar daripada itu.

“Sebelum tiada PUBG, keganasan tetap berlaku justeru, kita jangan cepat salahkan satu sebab,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga berpendapat unsur keganasan harus dikecam oleh rakyat seluruh dunia kerana ia bercanggah dengan prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh rakyat Malaysia dan masyarakat di seluruh dunia.

Permainan PUBG menarik perhatian netizen apabila ia dikatakan mirip serangan bersenjata ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas.

Beberapa hari lepas, Gujarat adalah satu-satunya negeri di India yang mengharamkan permainan PUBG selepas ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di negara terbabit kerana ia dilihat lebih banyak mendatangkan pengaruh buruk termasuk unsur ganas.

Menurut media, permainan itu dimuat naik oleh lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.