Siakap Keli

Penduduk Risau Banjir Kilat Sungai Kim Kim Jadi Banjir Toksik

Rata-rata penduduk Kampung Bukit Pulai berdekatan dengan lokasi kerja pembersihan Sungai Kim Kim melahirkan kerisauan sekiranya berlaku hujan dalam sehari dua ini.

“Ini kerana kawasan ini mudah berlaku banjir kilat sekiranya hujan turun melebihi satu jam,” kata salah seorang penduduk kampung itu, Hadli Suri Rabu, 47.

“Kami risau jika hujan turun sebelum kerja pembersihan (sisa toksik) siap akan mengundang bahaya kepada semua penduduk kampung.

“Jika banjir biasa kami tak risau; sekarang ni banjir toksik…  apa yang akan jadi kepada kami nanti,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, kali terakhir kampung tersebut dilanda banjir kilat pada paras pinggang kira-kira tiga bulan lepas.

Azman Azhar, 42, pula berkata beliau tidak risau pada keselamatan dirinya tetapi risau dengan anak dan isterinya yang sarat mengandung tujuh bulan.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap nasib kira-kira 200 buah rumah di kampung tersebut sekiranya berlaku banjir.

“Kalau banjir berlaku, saya akan selamatkan isteri dan anak sahaja. Saya akan jaga rumah ini kerana ini adalah satu-satunya harta kami,” katanya.

— BERNAMA

Nur Farra