Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : ‘‘Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh yang mendoakannya.”
Namun, untuk mendapatkan anak soleh tidak terjadi dengan sendiri tanpa dibentuk dan didik oleh ibu bapa sejak dari kecil. Jika elok acuannya, maka beruntunglah ibu bapa kerana anak-anak yang ditinggalkan apabila mereka meninggal kelak menjadi harta yang sangat bernilai.
Perkongsian oleh seorang ibu, Puan Nor Latifah Abdul Rahman, 50, dari Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu dalam mendidik anak-anaknya seramai lapan orang ini wajar dijadikan contoh oleh setiap ibu bapa.
Manakan tidak, enam daripada anaknya yang berusia 12 hingga 25 tahun berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Manakala, dua lagi yang berusia 7 dan 10 tahun juga sedang dalam proses untuk bergelar hafiz.
Ditanya mengenai rahsia kejayaan mendidik anak-anaknya, beliau berkata, alunan suci ayat al-Quran sudah diperdengarkan kepada anak-anak sejak mereka masih berada dalam kandungan.
Baca al-Quran sejak mengandung
Katanya, ibu perlu sentiasa membaca al-Quran sejak mengandung. Apabila bayi sudah berusia setahun, dia sudah tahu dan terbiasa dengan huruf al-Quran. Ketika berusia empat tahun anak sudah boleh mengaji dan khatam muqaddam di usia lima tahun.
Jaga pemakanan anak-anak
Menyentuh soal pemakanan anak-anak pula, beliau dan suami akan memastikan setiap anak-anak mengambil susu kambing dan madu, selain badam yang baik untuk daya ingatan mereka.
Anak-anak makan air tangan ibu
Tetapi paling penting, beliau akan memastikan anak-anak memakan air tangannya sendiri. Anak-anak juga akan dibekalkan dengan bekalan yang dimasak olehnya setiap kali mahu keluar daripada rumah.
Niatkan semua anak-anak untuk berjaya menghafaz 30 juzuk
Jelas beliau, semuanya tidak mustahil jika adanya kehendak dan kemahuan. Oleh itu,sebagai seorang ibu beliau telah niatkan dalam hati supaya kesemua anak-anaknya dapat menghafal dengan sempurna 30 juzuk al-Quran.
Ambillah bidang apa pun, asalkan al-Quran tersemat di dada
”Mereka ini lah harta yang saya ada di dunia ini apabila saya meninggal dunia nanti. Suami tidak kisah anak-anak mahu ambil jurusan dan berkecimpung dalam bidang apa, asalkan al-Quran tu tersemat di dalam dada,” kata beliau ketika ditemui sumber di Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) di Taman Tamadun Islam (TTI).
Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14 dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.
Sumber : GPS Bestari