Siakap Keli

Mohd Haziq, Remaja Hilang Selepas Serangan Di Christchurch Disahkan Meninggal Dunia

Serangan tembakan dua buah masjid di Christchurch nyata telah menggemparkan seluruh dunia. Insiden tersebut telah mengorbankan 50 orang jemaah yang sedang berada di dalam masjid dan mencederakan ramai mangsa.

Tidak terkecuali empat orang rakyat malaysia yang terlibat dalam tragedi berdarah tersebut. Tiga daripadanya dilaporkan cedera dan sedang dirawat manakala satu dilaporkan hilang iaitu Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

Namun, misteri kehilangan remaja berusia 17 tahun itu akhirnya terjawab. Memetik laporan Bernama, Mohd haziq telah disahkan meninggal dunia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh.

Gambar : Twitter BERNAMA Radio

Satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra awal pagi ini berkata kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Haziq.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan menghulurkan bantuan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, juga akan berlepas ke Christchurch untuk mewakili kerajaan Malaysia dan untuk memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi berkenaan,” menurut kenyatan itu.

Bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu. Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

Kenyataan itu juga menyebut kementerian itu mengharapkan kefahaman pihak media dan orang ramai untuk menghormati perasaan anggota keluarga mangsa pada waktu-waktu yang sukar ini.

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.