Siakap Keli
Gambar : Bernama

Polis Buka Siasatan Kes Kematian Kakitangan MAHB Dan Panggil Juruterbang

Kuala Lumpur : Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kematian kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Mohd Ruzaimi Iskandar  Ahmad Razali selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian Isnin lepas.

Mohd Ruzaimi, 39, meninggal dunia kira-kira pukul 6.45 petang di Hospital Sungai Buloh pada hari Selasa akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan memanggil kesemua pihak yang terbabit termasuk juruterbang pesawat itu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara satu dan 13 tahun.

Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 3.20 pagi itu, pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang berkenaan dilaporkan cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya manakala penumpang dan kru pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.