Siakap Keli
Gambar : Metro UK

Mahu Dijadikan Haiwan Peliharaan, Anak Orang Utan Diberi Dadah Dan Disumbat Dalam Beg Pakaian Oleh Pelancong

Gara-gara mahu menjadikan anak orang utan sebagai haiwan peliharaan, seorang pelancong Rusia ditahan kerana disyaki memberi dadah kepada haiwan itu bagi menyeludupnya keluar.

Suspek, Andrei Zhestkov, 27, didakwa dalam perjalanan untuk pulang ke Rusia dari Bali semasa dia ditahan ketika melalui pemeriksaan keselamatan.

Apabila pegawai polis membuka beg pakaiannya, mereka  terkejut apabila mendapati seekor anak orang utan jantan yang berusia kira-kira 2 tahun sedang tidur di dalam sebuah bakul rotan.

Pegawai Agensi Pemuliharaan Bali, Ketut Catur Marbawa berkata : ”Kami percaya anak orang utan itu telah disuap pil alahan yang menyebabkannya tertidur. Kami menemui pil itu berada di dalam beg pakaian berkenaan.”

Selain itu, sebotol susu formula dan beberapa helai selimut turut ditemui di dalam beg tersebut bersama dengan dua ekor cicak tokek dan lima ekor mengkarung.

Zhestkov memberitahu pihak berkuasa bahawa anak orang utan itu diberikan oleh seorang pelancong Rusia lain yang telah membeli haiwan berkenaan dari sebuah pasar di Jawa pada harga 2,270 pound sterling.

Dia mendakwa rakannya itu turut meyakinkannya bahawa dia boleh membawa pulang anak orang utan itu sebagai haiwan peliharaan.

Jika sabit kesalahan, Zhestkov boleh berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda 5,299 pound sterling atas dakwaan menyeludup.

Menurut Kesatuan Pemuliharaan Semula Jadi Antarabangsa, orang utan semakin pupus dengan jumlah yang tinggi kini kira-kira hanya 100,000 di seluruh dunia.

Difahamkan, pekerja ladang dan penduduk kampung di Indonesia sering menganggap haiwan itu sebagai ancaman manakala pemburu menangkap haiwan itu bagi menjualnya dalam pasaran sebagai haiwan peliharaan.

Sumber : Metro UK

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.