Siakap Keli
Gambar: MalaysiaGazette

Lelaki Disahkan Meninggal Dunia Selama 21 Minit Sebelum Kembali Hidup Semasa Dalam Perjalanan Menuju ke Bilik Mayat

Seorang lelaki yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung didapati kembali hidup semasa dalam perjalanan ditolak menuju ke bilik mayat selepas doktor mengesahkan dia telah meninggal dunia 21 minit yang lalu.

Joao Araujo, 48, pengsan ketika sedang memandu untuk menghantar isterinya ke tempat kerja. Selepas 6 jam usaha untuk menyelamatkannya dibuat oleh sepasukan doktor, doktor memberitahu kepada ahli keluarganya bahawa dia mungkin tidak dapat diselamatkan dan akan meninggal dunia pada bila-bila masa.

Gambar: SWNS

Walau bagaimanapun, jururawat yang bertugas terkejut apabila mendapati badan lelaki itu bergerak semasa dalam perjalanan memindahkannya dari wad unit rawatan rapi ke bilik mayat selepas disahkan meninggal dunia oleh doktor. Beberapa ujian yang dilakukan mendapati peredaran jantungnya kembali normal seperti sedia kala.

Pasukan perubatan menyatakan bahawa tidak ada penjelasan yang logik tentang apa yang berlaku kepadanya ataupun mengapa dia boleh kembali bekerja selepas 3 minggu dia pernah disahkan telah mati.

Joao telah dikenali sebagai ‘Miracle Man’ di wad jantung dekat Gloucestershire Royal Hospital selepas daripada insiden yang ajaib itu.

Menceritakan tentang kehidupannya selepas 10 tahun berlalu, Joao yang berasal dari Linden, Gloucester, berkata bahawa ‘ianya telah banyak mengubah saya. Saya menjadi lebih bersyukur dan menghargai tentang kesemua yang terjadi dalam kehidupan saya.

‘Saya bersyukur kerana saya masih hidup, saya bersyukur kerana saya masih boleh bekerja.

‘Saya lebih menghargai masa yang diberi untuk bersama keluarga serta rakan-rakan.

‘Semasa saya dihospital, mereka tidak ada jawapan yang munasabah tentang apa yang sebenarnya terjadi pada saya. doktor sendiri tidak boleh mempercayai bahawa saya boleh terselamat tanpa ada sebarang kesan sampingan ke atas jantung, otak mahupun badan saya. Semenjak dari itu saya telah digelar ‘Miracle Man’, Ujar Joao.

Ketika sedang dalam perjalanan menghantar isterinya Grazielle ke tempat kerja, Grazielle mendapati mata Joao berpusing sehingga menampakkan mata putihnya sahaja lalu segera memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

Dia segera mencapai telefon bimbit milik suaminya itu untuk diselitkan diantara lidah dan lelangit suaminya daripada menutupi tekaknya. Orang ramai yang berdekatan terus menghubungi ambulans selepas terdengar jeritan meminta tolong yang dibuat oleh Grazielle.

Sepasukan paramedik tiba di lokasi dan mengesahkan Joao mengalami serangan jantung dan segera dikejarkan ke Hospital Gloucestershire.

Walau bagaimanapun, 6 jam selepas beberapa suntikan serta percubaan menyelamatkannya dilakukan, sepasukan doktor menyatakan bahawa Joao tidak mungkin berjaya diselamatkan.

Setelah doktor mendapati jantung Joao telah berhenti berfungsi, mereka terus mengesahkan Joao telah meninggal dunia pada sabtu 18 April 2009, pukul 4 petang.

Selepas doktor memberitahu isteri serta anaknya bahawa Joao telah meninggal dunia, isterinya dengan berat hati segera menghubungi ibu bapa suaminya itu untuk menyampaikan berita yang sedih itu.

Gambar: SWNS

Akan tetapi semasa jururawat sedang dalam perjalanan untuk memindahkannya ke bilik mayat, badan Joao didapati bergerak.

Doktor segera dipanggil untuk memeriksa Joao sekali lagi dan mendapati bahawa jantungnya kembali hidup seperti sedia kala.

Selepas daripada itu, doktor segera bergegas untuk berjumpa dengan ahli keluarga Joao yang masih dalam kesedihan  itu untuk memberitahu akan perkara tersebut.

Joao berada didalam keadaan koma selama 3 hari sebelum kembali sedar dikatil hospitalnya.

Ajaibnya, 2 minggu selepas itu keadaannya didapati beransur pulih dan terus dihantar ke hospital Bristol dan Oxford untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang apa yang menyebabkan dia boleh hidup kembali.

Dengan ketiadaan apa-apa rekod kesihatan yang membabitkan masalah jantung serta tubuh badan yang masih lagi sihat,  doktor telah menyimpulkan bahawa otak Joao gagal menghantar isyarat yang betul ke atas jantungnya. Dan itu yang menyebabkan jantungnya gagal berfungsi buat seketika.

3 minggu selepas kejadian tersebut, Joao kembali bekerja sebagai seorang pencuci dan hidup normal seperti sedia kala.

Joao walau bagaimanapun perlu mengunjungi wad kardiologi setiap 6 bulan untuk memeriksa keadaan kesihatannya.

Sumber: Metro.UK

Aqmal Ezany

I write what is right