Siakap Keli
Gambar: Indonesia Expat

Doktor Pakar Dari Malaysia Tawar Rawatan Pendengaran Kepada Hero Cilik Gempa Bumi Lombok

Keberanian seorang kanak-kanak OKU dari Indonesia yang menyelamatkan rakyat Malaysia dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada 17 Mac lalu telah membuka hati seorang doktor dari Malaysia untuk menawarkan kepakarannya dengan menamatkan penderitaan kanak-kanak OKU itu yang tidak boleh mendengar serta bertutur.

Taufik,7 tahun, yang berasal dari lombok itu telah diangkat sebagai hero cilik kerana keberaniannya menyelamatkan sekumpulan pelancong dari Malaysia semasa gempa bumi berukuran 5.8 magnitud itu menggegar kepulauan Indonesia pada 17 Mac yang lalu.

Tersentuh dengan kisah taufik yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain, pakar bedah telinga sebuah hospital swasta di ibu negara, Prof Datuk Dr Lomak Saim tampil untuk membantu kanak-kanak malang itu.

“Rakan saya memaklumkan mengenai kekurangan Taufik setelah membaca laporan di akhbar dan terus menghubungi saya. Setelah melihat gambar Taufik yang tidak mempunyai cuping telinga, saya tahu itu adalah satu daripada pengkhususan perawatan saya.

“Saya juga telah menghubungi Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk memberitahu mengenai kesediaan saya merawat Taufik kerana difahamkan badan bukan kerajaan itu yang mencari dana untuk membantu Taufik,” Ujarnya.

Lokman berkata, hasil laporan saringan awal kesihatan yang dijalankan oleh doktor yang merawat Taufik di Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat telah diperoleh beliau pada isnin.

“Setelah meneliti laporan tersebut, saya dapati berkemungkinan besar Taufik tiada cuping yang normal, tiada liang (lubang) telinga menerusi CT Scan yang dibuat, dia mempunyai koklea iaitu alat pendengaran paling dalam. Bagaimanapun saya akan membuat pemeriksaan klinikal sekali lagi.

“Terdapat dua prosedur yang boleh dibuat iaitu pembedahan biasa untuk membuat liang telinga atau menanam implan dikenali sebagai ‘Bone Conduction Hearing Implant’ (BAHA) iaitu sejenis alat yang ditanam di belakang cuping telinga bagi meningkatkan pendengaran pesakit,”katanya.

Dr Lokman berkata, beliau akan berlepas ke Lombok Khamis ini dan menemui Taufik untuk menjalankan saringan akhir bagi menentukan prosedur yang terbaik untuk merawatnya.

Menurutnya, setelah Taufik boleh mendengar, rawatan susulan seperti terapi pertuturan akan diberikan bagi membolehkan kedua-dua anggota badan tersebut berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, Bernama pernah melaporkan tentang Taufik yang telah menyelamatkan enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru, Lombok, pada 17 Mac lepas. Berikutan dengan itu, Global Peace Mission (GPM) Malaysia membuat keputusan untuk mengangkat kanak-kanak itu sebagai ikon ‘hero cilik’ kerana keberaniannya.

Dalam kejadian gempa bumi itu, dua rakyat Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Tai Siew Kim dan seorang lagi peserta dikenali sebagai Lim Sai Wah dilaporkan maut.

Sumber: Bernama

Aqmal Ezany

I write what is right