Siakap Keli
Pengunjung bersama-sama pemilik dan orang kampung (Kredit : Min House Camp)

Ramai Salahguna Perkataan Homestay, Kebanyakkan Homestay Sekarang Sudah Lari Dari Konsep Sebenar

Sehingga hari ini, sebilangan besar daripada kita telah tersalah anggap maksud dan modus operandi Homestay atau Inap Desa di Malaysia. Penggunaan terma Homestay itu sendiri telah disalahgunakan sehinggakan kita menganggap Homestay adalah satu alternatif bajet yang menawarkan kadar harga lebih murah berbanding hotel. Perkara ini telah merebak sehingga ke kawasan bandar yang mana rumah rumah pangsapuri mahupun rumah teres telah dijadikan Homestay.

Di Malaysia terma Homestay telah disalahgunakan dan juga disalahertikan oleh pengusaha dan juga orang ramai yang mana telah menyebabkan lambakan Homestay yang tidak berdaftar. Idea asal penubuhannya adalah sebagai satu medium pelancongan yang mana tujuannya untuk memberi perkhidmatan tempat tinggal berserta mempromosi budaya dan cara hidup orang tempatan. Homestay telah diilhamkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mendorong usahawan desa untuk menjana pendapatan melalui penawaran tempat tinggal di samping memperkenalkan dan mempromosikan produk-produk desa yang terdapat di kawasan sekitar.

Floating Market Pantai Suri, Kelantan diperkenalkan melalui program Homestay                 

Penubuhan Homestay yand tidak mengikut garis panduan telah menyebabkan tujuan asal ini tersasar yang mana selain penyediaan tempat tinggal, pengunjung sepatutnya disajikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan aktiviti harian di satu satu kawasan.Tidak seperti khidmat rumah sewa atau hotel, konsep Homestay memerlukan pemilik untuk tinggal bersama dari hari pertama pengunjung sampai. Pengusaha juga perlu menyediakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi memperkenalkan kepada pengunjung keunikan budaya serta memberikan satu pengalaman lain yang dapat dijadikan bahan bualan apabila pengunjung pulang ke tempat asal mereka.

Sehingga 2018, data menunjukkan sebanyak 212 kelompok Homestay telah dibangunkan dan didaftarkan yang mana sebanyak 5,712 bilik penginapan disediakan. Pihak MOTAC melalui agensinya, Tourism Malaysia dari tahun ke tahun telah menyediakan kursus dan latihan bagi meningkatkan kualiti Homestay serta memastikan produk Homestay ini terkenal dari dalam dan luar negara. Selain dari pengunjung dalam negara, pengunjung dari Singapura dan Jepun telah mencatatkan satu rekod yang memberangsangkan disamping pengunjung lain dari China, Eropah, Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Bengkel Pembanguna Pakej Pantai Timur

Sehubungan dengan itu, pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Pakej Pantai Timur yang dijalankan di Homestay Kampung Taman Sedia, Cameron Highlands pada 19 hingga 21 Mac 2019 baru-baru ini. Bengkel ini telah mengumpulkan sebilangan pengusaha Homestay dari pantai timur dan agensi pelancongan bagi membangunkan pakej pelancongan Homestay. Pelbagai aktivit menarik telah dijalankan bersempena dengan bengkel ini. Semoga jenama Homestay Malaysia akan terus berkembang dan terkenal di serata dunia.

 

Rujukan: SCRIBD, Motac.gov.my

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu