Siakap Keli
Gambar : Facebook

Ibu ‘Terlalu Gembira’ Sebelum Terlibat Kemalangan – Anak Mangsa

Kuantan : Anak tiri kepada Hashimah Ismail, 66, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 101 Jalan Lama Kuantan-Kuala Lumpur petang tadi, tidak menyangka sikap ibunya yang terlalu gembira semasa majlis kenduri perkahwinan di Hulu Langat semalam, merupakan petanda bahawa dia akan meninggalkan mereka sekeluarga selamanya.

Menurut Zaili Mohd Noor, 51, ibu tirinya dilihat ‘gembira luar biasa’ dan ketawa sehingga mengalir air mata menyebabkan dia terdetik di dalam hati ada sesuatu yang kurang elok akan berlaku selepas itu.

“Ayah saya, adik perempuan dan suaminya nampak biasa sahaja, semasa majlis perkahwinan anak kedua saya itu, cuma mak sahaja nampak gembira sangat, semasa itu saya teringat orang tua-tua kata, kalau banyak sangat ketawa, nanti menangis,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Jengka di sini malam ini.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang tadi itu, lima anggota keluarga berkenaan maut termasuk Hashimah; suaminya, Mohd Noor Che Mat, 78; anak mereka Nor Suraya Mohd Noor, 30; suaminya, Musa Abdullah, 31; serta anak mereka, Muhamad Zulkarnain Musa, 3.

Seorang lagi anak Nor Suraya, Nur Quraitun Ain Musa, lima tahun cedera parah.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas kenderaan mereka naiki hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah Proton Iswara dan kemudiannya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux, menyebabkan kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Zaili yang masih kelihatan terkejut dengan kejadian itu berkata kesemua mereka menghadiri majlis perkahwinan anak keduanya, Mohd Iqbal Zaili, 27, di Hulu Langat semalam, sebelum berkonvoi dari Seri Kembangan menaiki dua buah kenderaan untuk pulang ke rumah masing-masing tengah hari tadi.

“Sampai di bandar Lanchang kami berhenti makan tengah hari dan selepas itu berpisah. Dalam pukul 3 petang, saya mendapat panggilan daripada salah seorang adik, mengatakan kereta dinaiki ayah terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu kakak Nor Suraya, Saliah Mohd Noor, 34, berkata adiknya enggan memberikan gambar kenduri yang dihadiri semalam ketika diminta berbuat demikian melalui WhatsApp.

“Saya tidak dapat hadir kenduri anak abang sulung sebab ada urusan lain, dan minta adik (Nor Suraya) menghantar gambar semasa kenduri, tetapi dia bagi tahu dia tak nak berbuat demikian sebab takut saya sedih,” katanya yang kelihatan sebak.

Menurutnya adik perempuannya itu yang merupakan seorang guru Kafa sedang mengandung tiga bulan dan jenazah anggota keluarganya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jengka 6, selepas proses bedah siasat dilakukan malam ini.

Sementara jenazah ibu tiri mereka akan dikebumikan di Kampung Batu, 9, Sungai Kepong, Lanchang.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.