Siakap Keli
Gambar : Bernama

Roboh Kebun : Pekebun Hilang Punca Rezeki, Kerajaan Negeri Bertegas Demi Rakyat

Cameron Highlands : Hilang punca pendapatan selain perlu menanggung bayaran balik pinjaman institusi kewangan, itulah antara masalah yang dihadapi pekebun kecil Kuala Terla di sini, berikutan tindakan kerajaan negeri Pahang menutup 11 kebun bulan lalu.

Menurut Leong Ngan Kong, 70, beliau tidak sempat berbuat apa-apa, ketika kebun ceri dan tomato seluas 0.8 hektar yang diusahakannya sejak 50 tahun lepas, diambil tindakan penguatkuasaan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands selepas notis tujuh hari diberikan.

“Kami tidak sempat mengadakan perbicangan atau rayuan. Kami juga tidak menerima sebarang pampasan atau tanah baharu untuk berkebun semula. Jadi saya merayu kerajaan bertimbang rasa dengan nasib kami,” katanya yang dikatakan kerugian RM500,000 kepada Bernama di sini, hari ini.

Leong merupakan antara lebih 300 petani Kuala Terla, yang hadir bersolidariti menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri yang mengambil tindakan penguatkuasaan menutup 11 kebun dan kira-kira 50 lagi kebun kerana aktiviti kebun-kebun itu dikatakan mencemari Sungai Terla.

Selain Leong, S.Saravanan, 39, turut merintih perkara sama apabila kebun bunga yang diusahakan bapanya sejak 50 tahun lalu ditutup begitu sahaja, dan kini buntu memikirkan cara membayar balik pinjaman bank sebanyak RM4 juta.

Peh Kok Moi, 50, pula mungkin terpaksa melupakan niat menghantar anaknya menyambung pelajaran di luar negara, kerana hilang sumber pendapatan selepas kebun sayurnya diambil tindakan penguatkuasaan.

“Impian anak saya menyambung pelajaran di luar negara terpaksa dibatalkan, kerana wang simpanan saya tidak banyak untuk menanggungnya,” katanya yang senada dengan pekebun kecil lain yang meminta campur tangan kerajaan Persekutuan dan ehsan kerajaan negeri.

Turut hadir dalam solidariti selama kira-kira dua jam yang bermula pada pukul 3 petang itu adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P. Ramasamy yang menyatakan, keluasan kebun telah dan akan diambil tindakan adalah kira-kira 55 hektar dan membabitan kerugian RM1 bilion.

Ramasamy dalam sidang media kemudiannya berkata kos bagi petani mengusahakan setiap kebun dianggarkan RM500,000 hingga RM1 juta, dan mereka mendapatkan pembiayaan menerusi pinjaman dengan institusi kewangan.

Beliau menggesa penguatkuasaan kira-kira 50 lagi kebun, dihentikan serta merta manakala 11 kebun yang telah diambil tindakan diberi penempatan semula, atau pampasan dan memaklumkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung hal itu.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Shahril berumur 30-an berkata sememangnya berlaku pencemaran di Sungai Terla dan apabila sungai itu tercemar, sebagai penduduk mereka khuatir dengan tahap kebersihan air dan walaupun tidak semua, tetapi memang ada pekebun membuang plastik ke dalam sungai.

Bagi Salmah Hassan, 74, yang menetap di Kampung Raja di sini sejak 60 tahun lepas, menyokong tindakan kerajaan negeri kerana terdapat pekebun yang mengusahakan tanaman secara haram dan menyebabkan air di Sungai Terla tercemar.

Fasa pertama tindakan penguatkuasaan terhadap 11 kawasan kebun dilaksanakan bermula 25 Feb hingga pertengahan Mac, manakala fasa kedua melibatkan lagi 50 kebun bermula 1 April.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu pekebun kecil Kuala Terla untuk menjamin kesinambungan bekalan air terawat, bagi keperluan kira-kira 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

Walaupun sumber air yang diperoleh di muka sauk untuk Loji Rawatan Air Kuala Terla datang dari Sungai Terla, namun Sungai Ichat juga berada dalam kawasan tadahan air Terla yang sama di bahagian hulu, yang turut meliputi kawasan hutan simpan.

“Kedua-dua sungai ini sepatutnya menjadi penyumbang sumber air mentah untuk diproses menjadi air terawat. Bagaimanapun, hanya Sungai Terla digunakan pada masa ini kerana Sungai Ichat tercemar teruk dan diburukkan lagi dengan penerokaan haram di kedua-dua belah tebingnya.

“Sumber air mentah dari Sungai Terla juga didapati semakin berkurangan dan dikhuatiri boleh menyebabkan kekurangan bekalan air mentah yang kritikal pada masa akan datang dan ini menyebabkan bekalan air Sungai Ichat amat diperlukan.”

Mengulas mengenai dakwaan antara 250 hingga 300 keluarga terjejas kerana tindakan penguatkuasaan, Wan Rosdy berkata penerokaan di kawasan berkenaan bermula hampir 30 tahun lepas dengan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) pertama dikeluarkan pada tahun 1993.

“Namun demikian, hanya 50 TOL atas nama ketua keluarga dikeluarkan berbanding dengan realitinya bagi setiap satu TOL yang dikeluarkan, terdapat lebih daripada seorang termasuk anak-beranak atau saudara-mara yang mengusahakan satu lot tanah,” katanya.

Wan Rosdy menambah hanya pada 2017, kerajaan negeri tidak mengeluarkan TOL, kerana berlaku pelanggaran syarat seperti membina struktur kekal yang meliputi rumah pekerja, selain tidak menepati syarat kebun dalam kawasan tadahan air yang wajib mengenal pasti lokasi khusus pembuangan sampah.

Syarat TOL juga mewajibkan pekebun membina perangkap kelodak, yang merupakan garis panduan khusus kerja penanaman sayur dan buah-buahan di kawasan sensitif tanah tinggi, namun ada pekebun tidak mematuhinya kerana mahu menjimatkan kos.

”Jabatan Pertanian juga menetapkan jenis racun serangga perosak tertentu dan kaedah penggunaannya, tetapi ada pekebun yang mahu mengurangkan kos, menggunakan racun serangga perosak yang diseludup atau racun yang hanya untuk kegunaan pertanian di kawasan tanah rendah,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.