Siakap Keli

Orang Ramai, NGO Perlu Ada Kelengkapan Pelindung Sertai SAR Acap

Gopeng : Orang awam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan atau dikenali sebagai Acap yang hilang lebih seminggu lalu, perlu mempunyai kelengkapan pelindung peribadi (PPE) yang sesuai sebelum melakukan operasi pencarian.

Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), Ismail Abdul Ghani berkata memakai kelengkapan yang sesuai adalah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini selain kawasan pencarian yang agak berbukit dan licin.

“Kalau pakai peralatan yang tidak sesuai seperti selipar, ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri. Sebagai contoh mereka perlu memakai kasut yang sesuai, lampu suluh selain membawa sedikit bekalan makanan dan minuman.

“Selain itu, mereka juga perlu melaporkan kepada pos kawalan bomba sebelum melakukan operasi pencarian kerana kami tidak mahu ‘insiden selepas insiden’. Kami bukan mahu menolak ‘sumbangan’ daripada orang awam atau NGO tetapi kami mahu memastikan mereka ini masuk dan keluar dalam keadaan yang selamat.

“Di samping itu, kami juga boleh menyelaras pergerakan mereka dari segi keselamatan dan sekiranya perlu kami juga akan bantu mereka masuk ke dalam kawasan pencarian,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Bomba di sini hari ini.

Mengulas mengenai operasi SAR yang masuk hari kesembilan hari ini, Ismail berkata pihaknya akan menumpukan dua kawasan yang berkemungkinan dilalui oleh mangsa yang berusia 29 tahun itu berdasarkan petunjuk samar hasil keterangan yang diperolehi daripada penganjur dan saksi sebelum ini.

Beliau berkata pihaknya mendapati petunjuk yang samar-samar tidak boleh dijadikan sebagai bukti kukuh.

Katanya, berdasarkan petunjuk diperolehi, pihaknya akan memberi fokus kepada ‘check point’ keenam sehingga ke kawasan kampung selepas terdapat bukti kehadiran mangsa di ‘check point’ berkenaan.

“Mangsa berkemungkinan telah melalui laluan yang salah kerana laluan trek aktiviti itu membabitkan tiga kategori iaitu 25 kilometer (km), 50 km dan 100 km dan ia satu kawasan yang agak luas.

”Mungkin mangsa mengalami kekejangan otot, diserang haiwan berbisa semasa mahu membuang air kecil atau ada ‘benda-benda’ yang menarik perhatian mangsa kerana hasil pemantauan mendapati laluan trek merupakan kawasan berpaya dan ada laluan yang agak mengelirukan,” katanya.

Mohammad Ashraf Hassan dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, Ahad lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.