Siakap Keli

”Gigih Bawa Motor Redah Rumah Murid,” Pengorbanan Guru Berbaloi, Sekolah Dari Pedalaman Juara Pertandingan Dunia

Mungkin pada pandangan mata kasar, sekolah yang terletak jauh di luar bandar ini hanyalah sekolah harian biasa. Berada di dalam kawasan FELDA, murid-murid terdiri daripada anak golongan sederhana atau tidak berkemampuan.

Namun, dedikasi dan semangat oleh guru-gurunya dalam memastikan setiap anak murid di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lok Heng Selatan di Kota Tinggi, Johor seramai 450 orang ini berjaya wajar diberi pujian.

Manakan tidak, tersentuh hati kami melihat di luar waktu sekolah pun, guru-guru yang diketuai oleh Ustaz Huszarudin masih gigih meredah ladang kelapa sawit dengan motor ke rumah murid.

”Saya tak ingin anak murid saya ketinggalan semata-mata mereka dari kawasan FELDA di pedalaman,” ringkas namun mendalam kata-kata Ustaz Huszarudin. Niat murni guru-guru ini hanya satu, mereka tidak sanggup lagi melihat anak murid yang jauh terselit di pedalaman ini berada dalam kepompong dunia mereka sendiri.

Dari sekadar menjadikan murid-murid celik IT, tidak pernah sekalipun selain itu guru-guru ini terfikir sekolah di luar bandar ini mampu dikenali di peringkat antarabangsa.

Sekolah kampung ke juara pertandingan dunia

Bukan calang-calang apabila Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lok Heng Selatan berjaya menjadi juara dunia sekaligus membuktikan bahawa murid-murid di peringkat sekolah rendah mampu bersaing jika diberikan ruang dan peluang.

Kalahkan 14 buah negara lain

Mereka mengalahkan 14 buah negara lain termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Denmark sekaligus memenangi anugerahSpecial Mention Frog World Championship’ pada 2018 lalu. Mesti anda tertanya-tanya, apakah itu ‘Frog’?

Frog Virtual Learning Enviroment (Frog VLE)

Frog VLE yang merupakan hasil kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia bersama FrogAsia ini merupakan satu sistem pembelajaran alam maya iaitu e-pembelajaran dan pengajaran atau pembelajaran eletronik yang berasaskan web.

Timbulnya idea penggunaan aplikasi Frog VLE dalam pembelajaran ini pada mulanya hanyalah bertujuan membantu pelajar meningkatkan pretasi akademik mereka selain menarik minat belajar di luar waktu kelas.

Frog VLE menjadi satu pusat untuk mendapatkan pelbagai bahan maklumat yang dikehendaki oleh mereka. Caranya sangat mudah, pelajar, guru mahupun ibu bapa boleh mengakses ke dalam web ini dan memilih variasi penggunaan yang mereka kehendaki.

Diiktiraf sebagai sekolah terbaik

Usaha dan kesungguhan oleh semua guru menggunakan aplikasi Frog dalam pembelajaran telah bermula sejak tahun 2014. Ianya telah membuahkan hasil apabila Jabatan Pendidikan Negeri telah mengiktiraf Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lok Heng Selatan sebagai sekolah terbaik di Johor dalam menggunakan aplikasi Frog dalam dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017.

Peningkatan pelajar dalam subjek Bahasa Malaysia, English, Matematik dan Sains

Menurut Cikgu Huszarudin, guru yang bertindak sebagai pengendali Frog sejak 2014 di sekolah berkenaan, Frog VLE menjadi platfrom pembelajaran terbaik bagi pelajarnya di mana mereka berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang melangkaui tahap kemampuan mereka. Pretasi akademik pelajar boleh dibanggakan apabila meningkat terutamanya dalam subjek Bahasa Malaysia, English, Matematik dan Sains.

Namun, disebabkan kawasan ini yang berada di luar bandar dan kemampuan anak muridnya untuk memiliki komputer sendiri, sekolah ini telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan Pusat Internet Malaysia. Pelajar dibenarkan menggunakan capaian internet dan kemudahan ICT untuk mengakses Frog secara percuma pada waktu cuti sekolah.

Frog Squad membantu ibu bapa menghadapi cabaran teknologi

Namun, cabaran lainnya adalah golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan tidak terdedah dengan kecanggihan teknologi. Disebabkan itu lah, sebelum ini guru-guru seramai lima orang yang dikenali sebagai ‘Frog VLE Squad’ gigih bertemu dan berinteraksi dengan ibu-bapa di rumah murid supaya mereka faham dan membuka mata akan kepentingan penggunaan teknologi maklumat dalam pembelajaran anak-anak.

Frog VLE kini tidak terhad di kawasan bandar sahaja

Tidak ragu-ragu lagi Frog VLE merupakan satu platform pembelajaran terbaik dan menyeronokkan kepada murid di luar bilik darjah. Kesemua maklumat di dalam web boleh diakses di mana-mana dalam persekitaran yang selamat dan telah ditapis.

Perkongsian ini diharap dapat membuka mata semua pihak bahawa penggunaan Frog VLE tidak terhad di kawasan bandar besar seperti di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja. Kini, sekolah di luar bandar sekalipun mampu bersaing dengan dunia luar jika semua sekolah mengambil peluang menggunakan Frog VLE terhadap murid di sekolah rendah.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari sahaja laman web www.frogasia.com.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.