Perjalanan ke sekolah yang menjadi rutin harian sekumpulan murid di Pulau Tambisan, Lahad Datu, Sabah mengundang kebimbangan apabila mereka terpaksa menaiki bot melalui perairan yang didakwa menjadi kawasan kehadiran buaya.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, @labu8_7, beberapa orang murid dilihat menaiki sebuah bot dengan memakai jaket keselamatan untuk menuju ke sekolah.

Lebih mencemaskan, rakaman berkenaan turut memaparkan seekor haiwan yang dipercayai buaya timbul di permukaan air pada jarak tidak jauh dari laluan bot tersebut.
“Allahu, bertarung nyawa anak saudara saya pergi sekolah setiap hari. Dengan menaiki bot, kemudian ada buaya sedang menunggu,” tulisnya menerusi hantaran itu.
Pemilik akaun berkenaan turut berharap agar pihak berwajib mengambil perhatian terhadap situasi tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Mungkin sesiapa boleh maklumkan kepada pihak berwajib sebelum terjadi apa apa,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata ratanya meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan murid yang perlu menggunakan pengangkutan air untuk ke sekolah.
Meninjau ke ruangan komen, @fzlxrch berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi hampir sama ketika berada di Sarawak.
Katanya, dia pernah menaiki sampan untuk menyeberang sungai bagi ke sekolah ketika perkhidmatan feri mengalami kerosakan.
“Ya, saya pernah mengalami perkara ini di Sarawak. Memang banyak buaya di sana. Saya pernah menaiki sampan seperti ini untuk ke seberang kerana feri rosak ketika hendak ke sekolah.
“Ketika sedang menaiki sampan, buaya lalu di kiri dan kanan. Waktu itu, saya hanya mampu berdoa. Alhamdulillah, tiada apa apa berlaku. Buaya itu hanya melintas pada jarak kira kira satu meter, sedangkan ketika itu saya baru darjah lima,” kongsinya.
Sementara itu, @hairunisa.hanif berharap agar satu penyelesaian terbaik dapat dicari bagi memastikan keselamatan murid berkenaan terjamin.
“Semoga ada jalan penyelesaian terbaik. Kesian mereka. Menuntut ilmu itu satu ibadah. Semoga berganda pahala buat mereka,” katanya.
Turut meluahkan rasa bimbang, @ticersya888 menyifatkan perjalanan tersebut sebagai satu pengorbanan demi menuntut ilmu.
“Pengorbanan demi ilmu. Semoga Allah melindungi kamu, wahai anak,” komennya.
Dalam pada itu, @shahrudin325 mengakui turut berasa risau melihat keadaan murid berkenaan.
“Tengok anak orang pun saya sudah risau, apatah lagi jika anak sendiri yang perlu melalui keadaan begitu,” katanya.

