Siakap Keli

Arwah Ahmad Ammar, Kisah Hebat Remaja Dari Malaysia Yang Dimakamkan Di Kuburan Sahabat Nabi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Anda mungkin pernah mendengar kisah mengenai Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam suatu ketika dahulu. Pemuda yang merantau ke Bumi Eropah untuk menuntut ilmu namun ditakdirkan meninggal dunia dalam usianya yang sangat muda setelah menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

Selepas meninggal dunia, nama Allahyarham menjadi sebutan bukan sahaja di negara dimana jasadnya dikebumikan iaitu di Turki, malah turut disebut-sebut dalam kalangan belia dalam negara.

Kematian beliau begitu dicemburui malah jenazahnya diberi pernghormatan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan yang menempatkan jasad 60 para syuhada yang juga sahabat-sahabat Nabi yang membebaskan Konstatinopel antaranya Abu Ayyub al-Ansari .

Ikuti perkongsian oleh saudara Muhammad Najmie Ruslan yang sempat menziarahi pusara Allahyarham dan kisah syahid yang tertangguhnya di bawah.

AHMAD AMMAR, KISAH SYAHID YANG TERTANGGUH

“Alhamdulilah saya sempat menziarahi Pusara Ahmad Ammar, seorang Anak Muda yang diberikan penghormatan oleh Kerajaan Turki untuk dikebumikan di Tanah perkuburan Ayub.

Apabila sampai di sana, sejuk mata memandang apabila melihat kubur pusara Ahmad Ammar penuh dengan bunga2 tulip yang hidup dengan suburnya.”

Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia semuda 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya ketika Awal Muharram di Istanbul, Turki.

Ahmad Ammar telah memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki.
Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.

Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan.
Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan ibunya Puan Nur Azlina Aziz.

Beliau merupakan anak keempat dan satu-satunya anak lelaki Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ahmad Ammar merupakan pelajar yang sangat cemerlang SPM di RMC (Maktab Tentera Diraja) namun memilih menyambung pengajian di bidang Sejarah di Turki, bersama harapan dan perancangan kedua ibu bapanya

Juga, untuk menjadikan dirinya pemimpin negara kita yang pakar dalam sejarah khususnya Sejarah Uthmaniyyah, dan fasih bertutur di dalam bahasa Turki serta mendapat pendidikan di sana.

Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali.

Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.

Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia.

Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.

Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria.
Allahu Akbar!

Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.

Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik.

Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad dalam angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.

Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.

Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan.

Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari?

Bukankah unta Baginda S.A.W dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain?

Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda S.A.W dari Makkah ke Madinah.

Taqdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah S.A.W di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki.

Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan.

Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’:

“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi.

Malah catatan terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:

“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian.

Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting.

Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun.

Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”

Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya, Tuan Haji Ahmad Azam, beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulan.

Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara.

Beliau amat rindukan syahid.

Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya.

Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini.

Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar.

Masya Allah Tabarakallah!

Untuk insan yang istimewa ini —-> Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hanya pada hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”  Al-Imran:185

“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!”

– Abu Ayyub al-Ansari r.a. 44H –

Sumber: Muhammad Najmie Ruslan

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.