Siakap Keli
Gambar : Bernama

Pencarian Acap Perlu Berlandaskan Syariah Islam – Mufti Wilayah

Gopeng : Pencarian peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hasan yang hilang sejak 23 Mac lalu perlu berlandaskan kepada syariah Islam yang sebenar, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata beliau amat bersetuju supaya orang ramai sentiasa berdoa, melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah kerana dengan cara itu akan ada satu penyelesaian.

“Cara yang dibuat apabila tidak menepati syariat Allah seperti memohon kepada makhluk-makhluk yang lain seperti menjangkakan yang ini boleh memberi kesan, beri kuasa dan seumpamanya, adalah tidak bertepatan dengan apa yang kita diajar, tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.

“Kita sebagai orang Islam sewajarnya memohon kepada Allah berdasarkan kepada nas Ilahi,” katanya kepada sumber selepas melawat tapak operasi mencari dan menyelamat Acap di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.

Zulkifli turut melahirkan keyakinan akan ada satu titik pengakhiran dengan penemuan Mohamad Ashraf, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap yang telah hilang memasuki hari ke-18 hari ini.

“Saya juga mengharapkan supaya kita sama-sama bersatu hati, berusaha untuk menemui saudara Ashraf. Kita doakan supaya dia berada dalam keadaan selamat dan sejahrera Insha Allah dan mudah-mudahan ia berakhir secepat mungkin,” katanya.

Mohammad Ashraf berasal dari Muar, Johor menyertai GUT 2019 bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.

Kehilangannya disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan, yang kemudiannya membuat laporan polis.

Sementara itu, keluarga Mohammad Ashraf kesal dengan tindakan segelintir pengamal perubatan alternatif yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pihak pengurusan Gua Tempurung di sini menghentikan bantuan kemudahan tapak perkhemahan di lokasi tersebut.

Abang mangsa, Mohd Zahiruddin, 35, berkata pihak pengurusan telah menghentikan bantuan kemudahan itu mulai hari ini berikutan terdapat segelintir pengamal perubatan alternatif menggunakan ritual pelik berupa penyembahan dan pemujaan di kawasan berkenaan.

“Tindakan pengamal perubatan yang tidak bertanggungjawab begini memberi kesan buruk kepada unit sukarelawan SAR (operasi mencari dan menyelamat) yang datang dari segenap pelusuk tanah air termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebook miliknya hari ini.

Mohd Zahiruddin berkata kemudahan tapak perkhemahan itu merupakan satu-satunya tempat mereka yang terlibat dengan SAR secara sukarela berkongsi maklumat, memantau data, solat dan istrirehat setelah penat meredah hutan, sungai serta paya.

Katanya operasi pencarian adiknya masih dijalankan dengan bantuan rakan baik, orang awam, orang kampung serta pihak bomba, namun sehingga hari ini masih belum ada sebarang petunjuk baharu.

Menurut Mohd Zahiruddin, ibunya, Siti Maznah Khamis, 62, yang sebelum ini turut sama mencari Acap sudah pulang ke Muar, Johor semalam untuk menerima rawatan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.